KULAI, 21 Dis (Bernama) -- Jenazah ibu kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Allahyarhamah Halimah Yaacob, selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Al-Raudah, Saleng di sini pada 8.30 pagi tadi.
Pengebumian itu disempurnakan dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga dan kenalan rapat, termasuk suaminya, Mustafa Mohd Salleh, 91. Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 77 tahun malam tadi di kediaman anaknya di Putrajaya.
Sebelum itu, jenazah dibawa dari Putrajaya ke Johor pada tengah malam selepas solat jenazah dilaksanakan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya.
Dr Zaliha berkata ibunya telah beberapa kali keluar masuk hospital sejak tiga hingga empat bulan lalu akibat beberapa komplikasi kesihatan termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan serangan angin ahmar. Keadaan kesihatan Allahyarhamah semakin merosot kebelakangan ini.
“Jadi kami bawa pulang ibu sebelum Maghrib. Kemudian, sebelum Isyak, beliau sudah nazak, dan selesai sahaja azan, ibu menghembuskan nafas terakhir pada 8.23 malam,” katanya.
Beliau berkata urusan pengurusan jenazah dipermudahkan dan berjalan lancar, bermula daripada mandi, mengkafankan, solat jenazah sehingga jenazah dibawa pulang ke Johor.
Dr Zaliha, anak sulung daripada lapan adik-beradik, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ibu penyayang yang berjaya membesarkan anak-anak menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara.
-- BERNAMA