AM

Kurikulum Prasekolah 2026 Perkukuh Amalan Membaca - Fadhlina

19/12/2025 10:30 PM

CYBERJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Kurikulum Prasekolah 2026 akan memberi penekanan khusus kepada amalan pembacaan bersama ibu bapa sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh literasi awal kanak-kanak, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau ketika berucap pada Malam Kota Buku 2025 di sini malam ini berkata inisiatif itu merangkumi pewujudan ruang membaca khas di prasekolah bagi menggalakkan interaksi ibu bapa dan anak menerusi aktiviti membaca.

“… dalam inisiatif kurikulum baharu untuk prasekolah misalnya, kami mendapat sokongan penuh daripada Perbadanan Kota Buku (PKB) dan rakan strategik yang menyokong penuh satu ruang membaca, yang akan diwujudkan di sekolah, khusus untuk memastikan penglibatan ibu bapa di peringkat prasekolah.

“Saya fikir tradisi memegang buku (dan membaca) masih lagi satu tradisi yang penting… sebab itu kita harus mendukung terus inisiatif sebegini, contohnya program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) yang kami akan angkat pada tahun hadapan,” katanya.

Malam Kota Buku 2025 mengetengahkan pencapaian PKB sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang membangunkan prasarana dan pelaksanaan program bacaan secara tersusun.

Fadhlina berkata pada 2026, tumpuan akan diberikan kepada beberapa agenda yang terkait dengan industri buku.

“Insya-Allah tahun hadapan kami ada ruang sedikit untuk memberikan tumpuan itu dan mudah-mudahkan segala apa yang kami hasratkan dapat kami laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi digital secara beretika dengan kerjasama PKB bagi memperluas akses bahan bacaan yang berkualiti.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar. 

Malam Kota Buku 2025 turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan merangkumi seluruh rantaian ekosistem perbukuan termasuk pemain industri, sekolah, komuniti bacaan dan rakan strategik bagi menggalakkan kecemerlangan dan kerjasama rentas sektor.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504663