BATU PAHAT, 21 Dis (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor akan memastikan barangan keperluan bencana di depoh utama Muar dan mini depoh di semua daerah sentiasa mencukupi sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengarah JKM Johor Ahmad Hashim Selamat berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca serta berhubung dengan JKM pusat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir disalurkan tanpa kelewatan.
“Pada kali ini, Mersing menjadi daerah pertama dilanda banjir tidak seperti kebiasaan apabila Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat yang terjejas awal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Pembangunan Kapasiti dan Malam Penghargaan Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) Johor 2025, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan SeMalayaia (MPKSM) Johor P. Tochenamuriti.
Ahmad Hashim berkata JKM Johor juga bersiap sedia menghadapi banjir luar jangka dengan menggunakan bekalan dari mini depoh daerah lain sekiranya berlaku kecemasan, seperti yang pernah berlaku di Batu Pahat pada 2023.
Mengulas mengenai program itu, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di kediaman mereka.
“Untuk rekod hingga Dis 2025, statistik petugas KBDR di Johor sebanyak 136 orang, manakala klien kita (warga emas dan OKU) yang memerlukan bantuan sebanyak 544 orang dan kita menjangkakan ia akan bertambah pada tahun hadapan.
“Melalui program itu, kita telah memilih melakukan saringan serta mengadakan kursus bagi petugas yang menyertai program KBDR dan untuk di Johor ia dikendalikan oleh NGO MPKSM,” katanya.
Untuk urusan penjagaan warga emas di Johor pula beliau berkata pihaknya turut berterima kasih kepada NGO yang telah menguruskan 22 rumah sejahtera serta berharap lebih banyak lagi individu atau pertubuhan terlibat sama.
-- BERNAMA