PORT DICKSON, 21 Dis (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan membangunkan Kampung Pachitan di sini sebagai Kampung Angkat MADANI pertama yang memfokuskan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi memberi manfaat kepada pengusaha inap desa serta sektor pelancongan.
Pengarah Eksekutif NIOSH Datuk Ayop Salleh berkata pihaknya memilih Kampung Pachitan sebagai kampung angkat kerana kampung itu terkenal dengan program inap desa yang menjadi pilihan pelancong serta pekerja industri dari loji janakuasa berhampiran.
Beliau berkata aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diberi perhatian serius bagi menjamin kesejahteraan komuniti, pelancong dan pekerja industri yang menetap di kawasan itu.
“NIOSH menggunakan kemudahan di Kampung Pachitan sebagai pusat latihan pekerja dan pembangunan kapasiti komuniti.
“Kami mahu menyediakan persekitaran latihan yang berbeza untuk para peserta latihan, mereka boleh tinggal di inap desa dan menyertai latihan di dewan yang akan disiapkan awal tahun depan,” katanya pada Program Gotong-Royong dan Pengindahan Komuniti Kampung Pachitan anjuran NIOSH hari ini.
Program itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ayop berkata peruntukan RM1 juta disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan dewan tertutup komuniti, taman permainan kanak-kanak, sokongan kepada projek ekonomi penduduk serta naik taraf kemudahan inap desa.
Beliau berkata bagi melalui Program Sekolah Angkat MADANI, peruntukan tambahan RM100,000 turut disalurkan menerusi NIOSH kepada Sekolah Menengah Agama Chuah bagi kerja menaik taraf kemudahan padang sekolah.
Sementara itu, Aminuddin berkata usaha itu dapat memastikan keselamatan penduduk dan pelancong yang tinggal di inap desa di kawasan berkenaan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha NIOSH untuk menerapkan aspek KKP di Kampung Pachitan termasuk pelaksanaan kursus berkaitan.
Beliau berkata kerajaan negeri komited membantu NIOSH meningkatkan tahap KKP dalam pengurusan inap desa, aktiviti komuniti serta pendedahan peluang kerjaya kepada golongan belia dalam bidang berkaitan.
-- BERNAMA