JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan Kekasih Ditahan Disyaki Curi Barang Kemas Lebih RM19,000

21/12/2025 02:40 PM

MERSING, 21 Dis (Bernama) -- Polis menahan sepasang kekasih di sekitar Johor Bahru selepas disyaki mencuri barang kemas dianggar bernilai RM19,300 di sebuah kedai emas di Endau di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata kedua-dua individu itu yang berusia 28 dan 24 tahun ditahan antara pukul 10 hingga 11.40 malam Jumaat. 

"Hasil siasatan ke atas suspek yang dipercayai pasangan kekasih itu, kita telah merampas sebuah kereta dan dua set barangan kemas terbabit untuk siasatan lanjut.

"Kedua-duanya yang tidak bekerja didapati memiliki rekod lampau berkaitan dadah, manakala ujian air kencing pula adalah negatif," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Razak berkata kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan pasangan terbabit direman selama empat hari bermula semalam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505027