KUALA LUMPUR, Feb 17 (Bernama) -- Pegawai konsular bersedia memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, rakyat Malaysia yang kini ditahan di Toyama, Jepun, menurut Kementerian Luar.
Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bantuan berkenaan termasuk memudah cara komunikasi serta memastikan kebajikannya, tertakluk kepada persetujuannya dan selaras dengan undang-undang Jepun.
“Kementerian, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, terus memantau situasi ini dengan rapi.
“Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa Kedutaan tidak boleh campur tangan dalam prosiding kehakiman sesebuah negara berdaulat atau menuntut pembebasan seseorang tahanan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Wisma Putra turut menjelaskan bahawa di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963, yang turut ditandatangani Jepun, pemberitahuan kepada kedutaan asing mengenai penahanan seseorang individu tidak berlaku secara automatik, sebaliknya merupakan hak yang dilaksanakan atas permintaan tahanan berkenaan.
Menurutnya, pihak berkuasa Jepun juga terikat secara ketat dengan Akta Perlindungan Maklumat Peribadi (PPI) yang mengklasifikasikan status tahanan sebagai maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga, termasuk perwakilan diplomatik, tanpa persetujuan jelas individu terbabit.
Muhammad Faiq Zafran sebelum ini dilaporkan hilang di Jepun sejak 2 Dis 2025. Ia kemudian disahkan berada dalam tahanan di Balai Polis Toyama Minami.
“Kedutaan telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa penyiasatan di Toyama bahawa pada masa berkenaan, persetujuan yang diperlukan untuk mendedahkan maklumat kepada Kedutaan tidak diberikan oleh Muhammad Faiq.
“Sehubungan itu, pihak berkuasa Jepun dari segi undang-undang tidak dibenarkan memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia atau mendedahkan butiran berkaitan siasatan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra memaklumkan bahawa selepas berjaya memperoleh pengesahan rasmi mengenai penahanan itu daripada pihak berkuasa Jepun, kementerian segera menghubungi waris terdekat untuk menyampaikan maklumat berkenaan.
Menurut kementerian itu, pihaknya terus berhubung dengan keluarga bagi memastikan mereka menerima perkembangan terkini yang diperoleh melalui saluran rasmi.
Kementerian turut menegaskan komitmen penuhnya terhadap kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan mengingatkan rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di luar negara supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan negara tuan rumah.
-- BERNAMA