AM

Lebih 10,000 Rakyat Pelbagai Kaum Banjiri Rumah Terbuka Ketua Menteri P.pinang

17/02/2026 05:25 PM

GEORGE TOWN, 17 Feb (Bernama) -- Semangat muhibah dalam kalangan rakyat jelas terpancar apabila lebih 10,000 orang daripada pelbagai kaum dan latar belakang membanjiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Setia SPICE Arena hari ini.

Chow menyifatkan sambutan tahun ini sebagai satu kejayaan besar memandangkan kehadiran luar biasa masyarakat Melayu, Cina, India serta pelancong asing, mencerminkan keharmonian utuh yang menjadi tunjang kestabilan sosial di Pulau Mutiara.

​"Saya berharap Pulau Pinang boleh mempersembahkan satu tauladan dan contoh yang baik dari segi memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat," katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.

​Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta barisan kepimpinan kerajaan negeri. 

Majlis juga disertai perwakilan diplomatik, pemimpin masyarakat dan pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri kemeriahan budaya tempatan.

Pelbagai juadah tradisional dan hidangan tempatan dihidangkan sambil tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian singa serta nyanyian artis tempatan.

​Kemuncak majlis ialah upacara menggaul yee sang sebagai simbolik mendoakan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2524994