AM

Insentif RM1,000 Untuk Pesakit Kanser Negeri Sembilan

05/12/2025 09:53 PM

SEREMBAN, 5 Dis ( Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM1 juta bagi KanserCare, iaitu Bantuan Pesakit Kanser, dengan pemberian insentif RM1,000 secara sekali beri kepada pesakit kanser di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun  berkata mana-mana anak kelahiran Negeri Sembilan yang menghidap kanser layak memohon peruntukan tersebut bermula tahun depan.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli ubat, menampung keperluan makan minum atau kos pengangkutan semasa mereka mendapatkan rawatan.

“Bantuan ini bukan hanya untuk golongan B40 sahaja, tetapi semua pesakit kanser yang disahkan doktor layak membuat permohonan. Ini merupakan inisiatif baharu memandangkan bilangan pesakit kanser di negeri ini semakin membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu berkata, insentif lain di bawah Teras Kebajikan dan Kesihatan kekal diberikan dengan jumlah keseluruhan RM2.34 juta.

Beliau berkata ia termasuk bantuan rawatan pembedahan AV Fistula untuk pesakit kurang berkemampuan (RM0.50 juta), sentuhan prihatin Orang Kurang Upaya (RM0.22juta), Rumah Minda Ceria (RM0.12 juta) dan bantuan alat implan ortopedik (RM0.50 juta).

Terdahulu, Aminuddin membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta, dengan perbelanjaan pembangunan RM150 juta dan defisit sebanyak RM30 juta 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499379