KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) muncul naib juara keseluruhan pertandingan sukan tradisional sempena Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam di sini, hari ini.
Bernama meraih lima pingat emas, enam perak dan tiga gangsa sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, selepas menjuarai acara tarik tali (lelaki), galah panjang (perempuan), tuju tin (perempuan), dam haji (lelaki) dan batu seremban (perempuan).
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) muncul juara keseluruhan dengan kutipan enam emas, tiga perak dan empat gangsa yang membolehkan mereka membawa pulang RM4,000 serta piala juara.
Tempat ketiga dimenangi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) keempat dengan masing-masing menerima wang tunai RM2,000 serta RM800.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang serta pasukan yang mengambil bahagian.
Beliau berkata pertandingan sukan tradisional yang diadakan kali pertama dalam penganjuran Sukan HAWANA bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan minda, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan serta saling mengenali antara agensi media dan agensi berkaitan.
Peserta tarik tali Bernama Mohd Norzaidi Arjunaidi semasa ditemui berkata semangat kerjasama dan sokongan kuat penyokong menjadi faktor utama kejayaan pasukan menjuarai acara itu.
“Ada satu masa, kami hampir kalah kerana semua terjatuh tetapi segera bangkit dan sorakan semangat pasukan serta penyokong Bernama menaikkan semula semangat sehingga berjaya menarik lawan untuk menjadi pemenang,” katanya.
Peserta tuju tin Bernama Nursyafiqah Izzati Haspawari berkata walaupun membuat persiapan saat akhir tanpa latihan khusus, mereka tetap memberikan komitmen penuh sepanjang pertandingan.
“Kami hanya berlatih pagi tadi tetapi itu tidak menghalang kami melakukan yang terbaik untuk menang tempat pertama,” katanya.
Nursyafiqah Izzati berkata pertandingan sukan tradisional wajar diteruskan untuk memperkenalkan permainan itu kepada generasi muda selain menghidupkan kembali nilai nostalgia dan mengeratkan hubungan peserta pelbagai peringkat usia.
-- BERNAMA