Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Sekalipun disahkan menghidap kanser, Juliana Razid tidak berputus asa untuk membina keluarga dan memiliki zuriat, sebaliknya meneruskan perjalanan rawatan yang panjang sebelum akhirnya dikurniakan seorang anak perempuan selepas hampir 11 tahun menanti.
Juliana, 43, disahkan menghidap mucinous carcinoma, kanser payudara jarang jumpa yang hanya melibatkan satu hingga dua peratus kes dan biasanya menyerang wanita lebih berusia atau hampir menopaus selepas dia mengesan ketulan di payudara kanannya pada Disember 2016.
“Sedangkan, ketika itu usia saya baru 34 tahun dan tiada sejarah keluarga yang menghidap kanser. Bila orang tanya kenapa saya kena, saya terima ini sebagai ujian yang Allah bagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Hari Bersama Media 2025 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini baru-baru ini.
pic-2
Tanpa membuang masa, Juliana anak kelahiran Taiping, Perak yang juga penjawat awam dan ketika itu bertugas di luar negara, mengambil cuti sakit seterusnya menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara (IKN) pada Januari 2017.
“Oleh kerana saya bertindak pantas, doktor memaklumkan rawatan kemoterapi boleh tidak dilakukan kerana sel kanser sudah dibuang dan belum merebak, namun saya memilih untuk meneruskannya sebagai langkah berjaga-jaga dan menjalani enam kali kemoterapi hingga rawatan terakhir pada 7 Julai 2017,” katanya.
Juliana berkata dia dan suaminya Fariq Azwar Salehuddin, 44, yang menjalani perkahwinan jarak jauh tetap berharap untuk mendapat zuriat selepas lebih dua tahun berkahwin dan setelah menamatkan rawatan kemoterapi, dia menjalani pemeriksaan susulan termasuk imbasan CT yang menunjukkan keputusan baik untuk meneruskan rawatan kesuburan.
“Risiko itu boleh berlaku pada awal, pertengahan atau hujung kehamilan. Kalau ia berlaku, ketika itu barulah doktor pertimbangkan sama ada perlu utamakan rawatan atau kandungan. Selagi belum berlaku, kita tak boleh jangka, jadi saya cuma berdoa mudah-mudahan tak jadi,” katanya.
pic-3
Pasangan itu kemudiannya menjalani empat kitaran rawatan IUI di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke HCTM untuk rawatan IVF di bawah seliaan pakar reproduktif dan onkofertiliti, Prof Madya Dr Mohd Faizal Ahmad, bermula Mei 2020.
Katanya percubaan IVF pertama pada Ogos 2020 menghasilkan kehamilan awal yang tidak berkembang, sebelum Juliana melalui beberapa lagi kitaran rawatan yang terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan. Malah, pernah juga folikel yang dikutip itu kosong tanpa kehadiran ovum.
“Saya menjalani pembedahan membuang polip sebanyak dua kali kerana ia boleh mengganggu penempelan embrio. Setiap kali rawatan gagal, memang timbul persoalan dalam diri, apa lagi yang tak cukup,” katanya yang turut mengambil inisiatif mendapatkan pandangan daripada beberapa pusat rawatan lain berkenaan masalah yang dihadapinya itu.
pic-4
Selepas melalui tujuh kitaran IVF, Juliana akhirnya disahkan hamil pada Disember 2024 dan selamat melahirkan seorang anak perempuan, Emma Emily Fariq Azwar pada 24 Julai 2025 ketika kandungan berusia 37 minggu lima hari melalui pembedahan elektif.
“The Magnificient 7, itu yang saya boleh katakan apabila berjaya kali ini. Alhamdulillah. Segalanya dengan izin Allah. Memang sangat tak disangka. Lebih-lebih lagi bila proses pengambilan telur untuk kitaran terakhir terpaksa dilanjutkan hingga hari ke-32, jauh lebih lama daripada kebiasaan iaitu pada hari ke-14 hingga hari ke-17 sahaja.
“Tidak pernah sekalipun kami berputus asa. Kami cakap dengan doktor, kami akan terus berjuang. Tapi kami juga sedar akan terpaksa berhenti berjuang sekiranya doktor kata rawatan itu sudah sampai ke tahap mudarat melebihi manfaat,” katanya.
Sepanjang kehamilan itu pula, Juliana memilih untuk merahsiakan berita berkenaan daripada ramai pihak dan hanya berkongsi dalam lingkungan kecil, selain mematuhi sepenuhnya pelan rawatan yang ditetapkan.
pic-5
Kepada mereka yang sedang berjuang mendapatkan zuriat, pemegang Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata kepentingan mendapatkan pemeriksaan awal dan rawatan daripada doktor tanpa rasa malu selain menjaga kesihatan fizikal dan emosi.
“Kalau rasa nak anak, selepas enam bulan berkahwin pun pasangan tersebut dah boleh buat pemeriksaan kesihatan. Jangan malu jumpa doktor dan jangan ambil nasihat yang bukan-bukan daripada mereka yang tidak bertauliah,” katanya.
Pada masa sama, Juliana menekankan segala rawatan dan ikhtiar hanyalah usaha manusia, manakala keputusan akhirnya tetap ketentuan Tuhan.
-- BERNAMA