Oleh Mohd Afiq Zulkifli
JERANTUT, 20 Dis (Bernama) -- Tidak ramai mempunyai kemahiran membaiki dan menghasilkan alat ganti papan elektronik berteknologi tinggi, namun kepakaran itulah yang membentuk perjalanan kerjaya seorang jurutera elektronik tempatan dari daerah ini.
Berasal dari Kampung Baharu di sini, kepakaran Mohd Azahar Zanudin, 51, selama lebih dua dekad dalam bidang yang tidak begitu diceburi di negara ini, bukan sahaja menjadi tumpuan industri domestik bahkan turut menarik perhatian negara luar khususnya negara membangun.
Anak jati Pahang ini menguasai kepakaran dalam pembaikian, penghasilan papan elektronik berteknologi tinggi yang menjadi peranti elektronik utama merangkumi sistem navigasi, radar, sonar, transponder bagi kegunaan pesawat, helikopter serta kapal.
Tidak sekadar itu, bakat tempatan ini turut mempunyai kepakaran dalam kerja penyelenggaraan, memulihkan dan menghasilkan alat ganti papan elektronik berteknologi tinggi yang lebih kompleks serta sudah tidak lagi dikeluarkan di negara asal, sesuatu yang amnya sukar dilakukan.
pic-2
Dengan keupayaan serta pencapaian membanggakan itu, Mohd Azahar kini mengendalikan fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang beroperasi di sini selain sebuah kilang di Shah Alam, Selangor, yang memberi tumpuan kepada penghasilan alat ganti papan elektronik berteknologi tinggi.
Ditemui Bernama baru-baru ini, bapa kepada seorang anak itu berkata penglibatannya dalam bidang tersebut bermula selepas menamatkan pengajian diploma kejuruteraan elektronik pada 1999 di Institut Bina Usahawan melalui program kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia.
Memulakan langkah awal dengan menimba pengalaman di sebuah syarikat komponen elektronik dan sistem telekomunikasi dari Taiwan selepas menamatkan pengajian, Mohd Azahar berkata pengalaman selama tiga tahun di syarikat itu menjadi asas penting kepada pembinaan kerjayanya.
pic-3
“Selama tiga tahun bekerja di syarikat itu, saya satu-satunya tenaga tempatan yang diberi peluang dan kepercayaan berada dalam pasukan R&D dengan penglibatan secara langsung dalam pembangunan serta penambahbaikan sistem elektronik dan telekomunikasi.
“Apabila syarikat tersebut memutuskan memindahkan operasinya dari Shah Alam ke luar negara, saya ambil keputusan berhenti dan memanfaatkan peluang membeli beberapa mesin berteknologi tinggi milik syarikat termasuk mesin ‘intelligent programmer’ serta peralatan pengujian papan elektronik bagi memulakan perniagaan sendiri pada skala kecil,” katanya.
Bertapak di bawah jenama syarikat A Electronic Link Networks, Mohd Azahar berkata perusahaannya itu berkembang secara berperingkat sebelum diberi kepercayaan untuk kerja latihan, pembaikan peralatan telekomunikasi bagi sektor kerajaan merangkumi agensi penguatkuasaan, pertahanan dan swasta.
pic-4
Bercerita lanjut, jurutera ini berkata antara cabaran terbesar sepanjang kerjayanya ialah melaksanakan kerja pembaikan dan penghasilan semula papan elektronik bersepadu bagi sebuah syarikat telekomunikasi tanpa dokumentasi teknikal lengkap selepas pengeluar asal dari luar negara menutup operasi.
“Papan elektronik itu digunakan bagi mengawal sistem penyejukan kemudahan telekomunikasi di seluruh negara selain turut merangkumi fungsi keselamatan seperti penggera, sambungan kepada pasukan keselamatan serta pengesanan kebakaran kabin.
“Namun ketiadaan diagram teknikal asal menyebabkan saya perlu membina semula keseluruhan litar melalui proses ‘reverse engineering’ yang mengambil masa hampir setahun dan hanya berjaya selepas percubaan kali ke-13,” katanya.
Beliau juga menyifatkan tugas itu antara bernilai tinggi pernah dilaksanakannya dan jauh berbeza dengan pembaikan papan elektronik komersial seperti telefon bimbit yang lazimnya lebih mudah untuk dibaiki kerana hanya menggunakan perisian asas.
pic-5
Ia juga menurut jurutera elektronik ini, tidak melibatkan tahap keselamatan tinggi selain boleh diselenggara menggunakan peralatan standard berbanding dengan papan elektronik berteknologi tinggi yang melibatkan sistem kritikal serta mempunyai perisian kompleks.
“Papan elektronik berteknologi tinggi ini juga melibatkan ciri keselamatan berlapis serta keperluan pengujian yang ketat, sekali gus memerlukan mesin berteknologi tinggi dan kepakaran khusus serta jauh lebih mencabar berbanding papan elektronik komersial,” katanya.
Justeru, Mohd Azahar berharap pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang berkaitan elektronik berteknologi tinggi ini wajar diberi perhatian bagi memastikan negara mempunyai keupayaan sendiri dalam menyokong sistem kritikal selain membuka laluan kerjaya bernilai tinggi kepada generasi muda.
-- BERNAMA