SUKAN

Sukan SEA 2027: Semua 17 Acara Di Sarawak Akan Diadakan Di Kuching

22/12/2025 04:51 PM

KUCHING, 22 Dis (Bernama) -- Semua 17 acara sukan Sukan SEA 2027 di Sarawak akan diadakan di bandar raya Kuching.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA 2027.

“Keputusan ini diambil kerana Sukan SEA merupakan sukan berskala serantau dan banyak faktor perlu dipertimbangkan, termasuk logistik, penginapan hotel bertaraf tertentu, kemudahan ketersambungan, fasiliti sukan bertaraf antarabangsa, dan lain-lain.

“Bagi sukan peringkat nasional, tentu sahaja bandar lain di Sarawak boleh terlibat,” katanya kepada Bernama.

Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 Sept dengan pembahagian kepada empat kluster utama iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Kluster Sarawak akan menjadi kluster utama dan lokasi upacara pembukaan, dengan 17 sukan dipertandingkan iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, muay thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wushu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505298