GAYA HIDUP

Dari Memori Di Bangku Sekolah Ke Kanvas Pameran Seni Antarabangsa

23/12/2025 12:37 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

PETALING JAYA, 23 Dis (Bernama) -- Dalam deretan karya realisme di pameran seni Fusion Art Malaysia 2025, terselit satu lukisan bunga adenium blossom (kemboja cina) yang bagi kebanyakan pengunjung mungkin hanya sebuah karya segar menggunakan teknik “relief” atau lukisan timbul ala tiga dimensi.

Namun bagi artis Aseerah Shahjahan, lukisan bertajuk “Chaos of Bloom” itu menyimpan seribu satu kenangan peribadi yang berakar dari memori zaman kanak-kanaknya.

 “Bunga ini sering saya lihat semasa zaman kanak-kanak, menemani perjalanan pulang dari sekolah dan tanpa sedar menjadi sebahagian kenangan saya. Rasa nostalgia itu yang mendorong saya menjadikannya subjek lukisan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pameran yang berlangsung di Capital Fine Art Gallery di sini.

Hanya mengambil masa sehari untuk disiapkan, lukisan berharga RM1,500 itu juga merupakan karya sulung siswi Universiti Tun Abdul Razak ini selepas hampir dua tahun meninggalkan aktiviti melukis yang bersandarkan kemahiran diasah ketika di bangku sekolah.  

pic-2

 Mesra dipanggil Ash, penuntut Diploma Pengurusan itu berkata di awalnya dia berasa gementar kerana berkongsi ruang pameran dengan pelukis profesional tempatan dan antarabangsa seperti Hamid Mohamed, Premi Subramaniam dan Prakashan Kuttamath, sebelum menjadikan perasaan berkenaan pembakar semangat untuknya menghasilkan karya terbaik.

Disebabkan sudah agak lama tidak meluahkan bakat seni di atas kanvas, anak jati Kuala Lumpur ini mendedahkan yang dia “terpaksa” membuat ulang kaji berpandukan karya-karya di Internet bagi menghasilkan kesan “relief” yang dikehendakinya.

Akuinya, selain menggunakan cat akrilik, dia hanya memanfaatkan bahan asas di rumah seperti sikat, pencungkil gigi serta putik kapas, dan lebih menarik, kesan tapak kaki kucingnya yang terpijak lukisan ketika masih basah turut menjadi sebahagian daripada elemen seni karya itu.

“Waktu itu awal pagi dan saya dalam kebuntuan kerana kesan timbul pada lukisan tidak seperti yang diharapkan. Kemudian kucing saya melompat di atas kanvas ketika cat belum kering. Saya panik, namun selepas kucing diangkat,  saya terpegun kerana kesan tapak kaki kucing itu menghasilkan tekstur yang saya idamkan,” kongsinya sambil tertawa.

pic-3

Wanita muda ini juga tidak menolak kemungkinan kembali aktif dalam dunia seni lukis walaupun sekadar hobi, memandangkan seni merupakan minat yang sudah sebati sejak dahulu.

“Seni tetap menjadi ruang untuk saya melepaskan tekanan. Mungkin suatu hari nanti saya akan melukis lagi, insya-Allah. Sekarang, saya bersyukur kerana selepas dua tahun, akhirnya dapat menyiapkan karya ini,” katanya.

pic-4

Fusion Art Malaysia 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 31 Dis menampilkan kepelbagaian karya para artis dari 20 negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505456