KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Gangguan sementara melibatkan sistem pemprosesan penumpang global yang digunakan oleh pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia menjejaskan proses daftar masuk dan menaiki pesawat di lapangan terbang Malaysia, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini.
MAHB dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial rasminya berkata gangguan ini mungkin memberi impak kepada pemprosesan penumpang menyebabkan syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbangnya melaksanakan prosedur kontingensi.
"Situasi di seluruh lapangan terbang kami sedang dipantau dengan teliti selain keselamatan dan keselesaan penumpang kekal sebagai keutamaan utama kami," katanya.
Pengendali lapangan terbang itu turut menambah kios layan diri kekal beroperasi sepenuhnya yang membolehkan penumpang mencetak pas menaiki pesawat dan tag bagasi.
"Pengembara dinasihatkan mengikuti panduan daripada pasukan syarikat penerbangan dan lapangan terbang di terminal, semak terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mengemas kini jadual penerbangan terkini selain teruskan dengan daftar masuk dalam talian jika tersedia," katanya.
-- BERNAMA