EKONOMI

Hextar Global Beli Tiga Syarikat Baja Bernilai RM120 Juta

23/12/2025 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Hextar Global Bhd hari ini memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Hextar Industries Bhd (HIB) dan Hextar Fertiliser Group Sdn Bhd bagi mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam PK Fert Sdn Bhd (PKFT), PK Fertilizers Sdn Bhd (PKF) dan Hextar Fert Sdn Bhd (HFT) pada nilai RM120 juta.

Kumpulan itu berkata cadangan pengambilalihan itu merupakan langkah peluasan strategik platform pertanian Hextar Global, dengan kemasukan perniagaan baja sebagai segmen baharu, sekali gus melengkapi operasi agrokimia sedia ada kumpulan tersebut.

“Perniagaan baja dan agrokimia menyasarkan asas pelanggan yang hampir sama, dan pengambilalihan  ini dijangka mewujudkan sinergi dari segi capaian pelanggan, rangkaian pengedaran serta kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Hextar Global berkata operasi perniagaan baja syarikatnya dan HIB akan diteruskan di pasaran sedia ada masing-masing, iaitu pasaran eksport dan Semenanjung Malaysia bagi Hextar Global, manakala HIB di Malaysia Timur.

Mengulas mengenai cadangan pengambilalihan itu, Pengarah Urusan Kumpulan Hextar Global Lee Chooi Keng berkata langkah itu adalah bagi mengukuhkan strategi jangka panjang pertanian kumpulan dan mengembangkan perniagaan berlandaskan kekuatan teras sedia ada.

Beliau berkata Hextar kekal berdisiplin dalam pendekatan pertumbuhannya dengan menilai setiap peluang berdasarkan keupayaannya untuk meningkatkan nilai jangka panjang, mengukuhkan platform operasi serta mengekalkan tadbir urus yang kukuh, selaras dengan matlamat kumpulan membina perniagaan pertanian yang mampan dan berdaya tahan.

Selepas selesai pengambilalihan, syarikat baja berkenaan akan menjadi anak syarikat milik penuh Hextar Global dan disatukan ke dalam penyata kewangan kumpulan.

Perniagaan baja itu akan diuruskan sebagai segmen perniagaan berasingan dalam kumpulan dan dijangka mengukuhkan asas pendapatan keseluruhan Hextar Global menerusi proses integrasi yang teratur serta kemampanan jangka panjang perniagaan teras kumpulan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505707