GAYA HIDUP

Kim Azzim Asah Kemahiran Badminton Untuk ‘Sentuhan Wira’

23/12/2025 10:21 AM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Demi memastikan watak Datuk Rashid Sidek yang akan dibawanya dalam filem Sentuhan Wira tampil meyakinkan, bakat baharu Kim Azzim kembali ke gelanggang bagi mengasah semula kemahirannya bermain badminton.

Kim, 24, berkata minatnya terhadap sukan itu bermula di bangku sekolah dan pernah menyimpan impian untuk menjadi pemain badminton profesional.

“Walaupun impian itu tidak kesampaian, saya anggap ini sebagai satu rezeki untuk ‘kembali’ ke dunia badminton dalam bentuk berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Pengumuman Pelakon dan Penaja Rasmi filem Sentuhan Wira, di sini baru-baru ini.

Mengakui dirinya peminat Rashid, anak muda itu berkata sejak awal sesi uji bakat filem tersebut beliau “menyasarkan” watak legenda badminton berkenaan.

“Sesi uji bakat ada tiga peringkat, bermula dengan monolog sebelum saya dipanggil ke close casting dan akhirnya diberikan watak Rashid. Sejak awal saya memilih monolog berkaitan Rashid kerana minat terhadap tokoh itu,” katanya. 

pic-2

“Saya dilahirkan pada 2001 dan tidak melalui era kegemilangan Piala Thomas 1992, namun saya mengenali sejarah itu melalui pendedahan keluarga serta minat terhadap badminton,” katanya yang turut mengakui “berpeluh dingin” semasa pertama kali bersua muka dengan Rashid.

“Aura beliau sangat kuat, dan beliau seorang yang santai.”

Kim yang menceburi dunia lakonan pada 2023,  turut berjanji akan memberikan penghayatan terbaik dalam menghidupkan watak berkenaan kerana sedar Rashid merupakan legenda badminton tanah air yang pastinya mengundang perbandingan oleh peminat.

“Saya akan cuba membawakan watak dengan seberapa tepat yang mungkin. Nak tiru gaya permainan zaman dulu memang mencabar sebab berbeza dengan sekarang, tapi dengan masa latihan yang cukup, saya yakin,” katanya yang juga pelakon drama Yang Tahu Je Tahu.

Menjelang penggambaran yang dijangka bermula pada April depan, Kim kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan fizikal dan latihan di gelanggang bagi memperkemaskan permainan serta perincian wataknya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505451