AM

KRT Taman Chemor Idaman Wujud Peluang Pendapatan Suri Rumah

25/12/2025 10:39 AM

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

IPOH, 25 Dis (Bernama) -- Bagi meringankan beban ekonomi keluarga, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Chemor Idaman di sini mewujudkan projek katering dan bakeri sebagai platform kepada golongan suri rumah menjana pendapatan melalui bidang berasaskan makanan.

Pengerusinya Karim Din Mohd Ismail berkata idea mewujudkan projek itu tercetus pada April 2023 selepas menerima dana berjumlah RM10,000 daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakan projek tersebut.

Beliau berkata dana berkenaan dimanfaatkan bagi menganjurkan kursus bakeri dan katering melibatkan 13 peserta wanita dalam lingkungan usia 40 hingga 50 tahun, yang bertujuan memberi pendedahan awal serta menajamkan kemahiran mereka dalam kedua-dua bidang.

“Dana itu kita guna untuk buat kursus yang berlangsung dalam tempoh dua bulan (Jun hingga Ogos 2023). Kursus tersebut melibatkan pelbagai perkara mengenai cara pembuatan dan penyediaan pelbagai juadah termasuk roti, kuih-muih dan sebagainya.

“Daripada situ, saya nampak minat dan usaha para peserta untuk pergi lebih serius dan mahu belajar sesuatu yang saya fikir amat berguna serta boleh menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Karim Din berkata usaha berkenaan terus diperkasakan apabila mereka menerima peruntukan menerusi inisiatif Rukun Tetangga (RT) Progresif daripada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berjumlah RM10,000 pada Jun tahun lepas, sekali gus membuka jalan bagi merealisasikan projek tersebut.

Beliau berkata dana berkenaan digabungkan dengan peruntukan yang diperoleh daripada Pejabat Perdana Menteri iaitu sebanyak RM30,000 pada November 2023 untuk membeli sebuah kabin selain membina dewan terbuka KRT Taman Chemor Idaman bagi memudahkan projek itu dilaksanakan.

“Selain itu, kita juga guna dana tersebut untuk membeli peralatan seperti ketuhar, mesin pengadun, kuali, pinggan, meja bankuet dan sebagainya, bagi melengkapkan projek ini,” katanya.

Menurut Karim Din, projek tersebut mula menampakkan hasil apabila menerima tempahan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi penyediaan makanan kepada 150 peserta sempena satu program pada November tahun lepas.

Beliau berkata ‘ujian’ itu dilalui dengan baik kerana mereka berjaya menyiapkan hidangan mengikut ketetapan pihak penganjur, sekali gus membuktikan kemampuan untuk mengendalikan tempahan berskala besar.

“Daripada situ, kita terus berkembang dan boleh dikatakan dua atau tiga kali dalam sebulan kami terima tempahan daripada pelbagai pihak termasuk daripada jabatan kerajaan,” katanya.

Karim Din berkata wang hasil projek berkenaan disalurkan ke tabung KRT Taman Chemor Idaman dan sebahagiannya diagihkan kepada setiap peserta sebagai upah terhadap sumbangan dan usaha mereka dalam menjayakan projek itu.

Bagi memastikan pendapatan diterima berterusan, Karim Din berkata sebahagian peserta mengambil inisiatif menghasilkan roti, kuih-muih, kek, capati dan sebagainya yang dijual di pekarangan dewan berkenaan pada setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, kesemua juadah itu dihasilkan di rumah masing-masing mengikut tempahan atau permintaan, sama ada daripada penduduk Taman Chemor Idaman atau komuniti setempat.

“Kalau tiada urusan tempahan katering, ada dalam kalangan peserta yang hasilkan pelbagai juadah makanan setiap hari untuk dijual di dewan ini setiap hari dari 3 hingga 6.30 petang.

“Seingat saya lebih 20 jenis makanan yang dijual. Orang ramai bukan sahaja boleh dapatkan makanan di sini malah boleh membuat tempahan sekiranya berminat untuk mendapatkan makanan berkenaan dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada peserta Rosyati Talib, 42, berkata projek tersebut amat membantu dari segi kewangan dan memberi peluang kepadanya membantu menambah pendapatan keluarga.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata walaupun pada awalnya agak sukar menyesuaikan diri dengan kaedah penyediaan makanan mengikut piawaian tertentu, pengalaman tersebut kini menjadi rutin yang menyeronokkan dan memberi kepuasan tersendiri.

“Sejak menyertai projek ini tahun lepas, saya dapat belajar banyak perkara baharu tentang pembuatan roti, kuih-muih dan kek. Pada awalnya memang penat dan suami saya sendiri pernah suruh berhenti.

“Bagaimanapun, demi minat dan ingin membantu suami, saya nekad untuk teruskan. Alhamdulillah, berkat usaha saya boleh jana pendapatan sekitar RM300 hingga RM400 seminggu menerusi penjualan roti, kuih-muih dan kek atau katering,” katanya.

Rosyati berkata selain menjana pendapatan, projek itu turut memperkukuh hubungan silaturahim antara peserta kerana mereka saling berkongsi ilmu, tips dan pengalaman sepanjang menjalankan aktiviti bakeri dan katering.

Selain itu, Rosyati berharap inisiatif seperti itu diteruskan dan diperluas pada masa hadapan supaya lebih ramai suri rumah dapat menikmati manfaat ekonomi serta peluang pembangunan kemahiran yang ditawarkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506034