BRASILIA, 25 Dis (Bernama-Xinhua) -- Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro dimasukkan ke Hospital DF Star di ibu negara Brasilia pada pagi Rabu untuk menjalani pembedahan hernia inguinal, lapor Xinhua.
Prosedur yang dijadualkan pada Khamis, disyorkan oleh doktor peribadi serta pakar daripada Polis Persekutuan dengan kebenaran Hakim Mahkamah Agung Persekutuan Alexandre de Moraes.
Bolsonaro, 70, dibawa ke hospital dalam tahanan polis dan ditempatkan di kawasan hospital yang diasingkan daripada pesakit lain.
Atas perintah Mahkamah Agung Persekutuan, beliau berada di bawah pengawasan berterusan, dengan anggota keselamatan ditempatkan 24 jam sehari di luar bilik hospitalnya, selain kawalan keselamatan tambahan di dalam dan di luar hospital.
Pada September, beliau dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan tiga bulan atas kesalahan cubaan rampasan kuasa.
-- BERNAMA-XINHUA