SUKAN

Vidakovic Persoal Tidak Diberikan Penalti Ketika KL City Seri 1-1 Dengan Kuching City

25/12/2025 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC Risto Vidakovic menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan pengadil yang tidak menghadiahkan sepakan penalti ketika pasukan itu terikat 1-1 menentang Kuching City FC malam tadi.

Vidakovic berkata insiden itu, yang berlaku pada babak kedua berpotensi mengubah keputusan perlawanan.

“Saya melihatnya dengan jelas menerusi video selepas perlawanan. Jersi pemain itu ditarik dari belakang.

“Ia adalah sentuhan, sentuhan dan kemudian beliau terjatuh. Bagi saya, ia adalah sepakan penalti yang sangat jelas,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Walaupun kecewa dengan keputusan itu, jurulatih dari Croatia berkenaan memuji prestasi anak buahnya dengan mengakui KL City FC mencipta banyak peluang dan menguasai sebahagian besar perlawanan, namun gagal dimanfaatkan.

“Kami mendominasi separuh masa pertama, bermain dengan sangat baik dan mensia-siakan banyak peluang. Itu adalah sebahagian daripada bola sepak tetapi berdasarkan apa yang saya lihat hari ini, kami sepatutnya menang,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City Aidil Sharin Sahak berkata keputusan seri menentang skuad City Boys sebagai adil dan mengakui berpuas hati kerana berjaya membawa pulang satu mata di tempat lawan.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi pemain malam ini dan keputusan diperoleh. Kami kekal di tempat kedua liga dan perkara paling penting ialah kami tidak tewas.

“Dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, satu-satunya kekalahan kami adalah ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506046