AM

Algoritma Rosakkan Minda Kanak-kanak, Ibu Bapa Perlu Main Peranan - Fahmi

26/12/2025 11:14 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Algoritma media sosial yang bersifat tertutup dan direka bagi mengekalkan ketagihan pengguna kini menjadi antara cabaran besar terhadap keselamatan masyarakat serta perkembangan kanak-kanak, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata algoritma platform digital yang berfungsi sebagai “secret sauce” bagi memastikan pengguna terus kembali ke aplikasi memberi kesan lebih berbahaya kepada kanak-kanak, memandangkan golongan itu belum memiliki keupayaan kawalan kendiri yang matang.

“Orang dewasa mungkin mempunyai keupayaan untuk berhenti menggunakan platform kerana ada tugasan dan tanggungjawab, namun bagi kanak-kanak yang membesar dengan algoritma sebegini, dalam keadaan mereka tidak mampu menahannya, ia boleh menjejaskan perkembangan minda serta kawalan ketagihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Duraj Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi M. Saraswathi.

Fahmi berkata kebimbangan itu semakin ketara selepas beliau menerima taklimat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendedahkan peningkatan mendadak jenayah yang meresap ke dalam media sosial, dengan angka yang disifatkan amat menggerunkan.

“Tiga bentuk jenayah yang paling merisaukan ialah jenayah seksual terhadap kanak-kanak, jenayah penipuan (scam) dan jenayah judi dalam talian. Ketiga-tiga jenayah ini terlalu berleluasa di pelbagai platform,” katanya.

Beliau turut mendedahkan kewujudan satu kumpulan di Facebook yang dinamakan “Awek Budak Sekolah” yang dibenarkan beroperasi oleh pengendali aplikasi media sosial sehingga menghimpunkan antara 30,000 hingga 40,000 ahli, majoritinya lelaki, walaupun jelas berunsur jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Selain itu, Fahmi berkata tokoh awam seperti Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad turut menjadi mangsa penipuan apabila ratusan akaun palsu diwujudkan menggunakan namanya bagi menjual produk kesihatan yang tidak wujud, sehingga menyebabkan beliau menerima surat amaran daripada Kementerian Kesihatan.

“Walaupun perkara ini telah dibangkitkan, akaun-akaun palsu tersebut masih wujud. Ini menunjukkan kegagalan platform untuk bertindak tegas,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi menegaskan bahawa tanggungjawab menjadikan internet sebagai ruang yang selamat tidak terletak di bahu kerajaan atau PDRM semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan aktif ibu bapa.

“Mak ayah mempunyai peranan yang sangat besar. Peranti bukan pengasuh dan bukan pengganti ibu bapa. Jika peranti diserahkan bulat-bulat kepada anak-anak selama berjam-jam, ia menjadi satu perkara yang sangat berbahaya.

“Algoritma akan mencandukan anak-anak kita, seterusnya merosakkan akhlak dan masa depan mereka,” katanya sambil menggesa ibu bapa agar lebih cakna terhadap kandungan yang ditonton anak-anak.

Mengulas kebimbangan di peringkat global, Fahmi berkata penyebaran maklumat palsu dan manipulasi algoritma turut membentuk persepsi negatif masyarakat terhadap institusi negara, seperti yang berlaku di beberapa negara lain, termasuk penggunaan kandungan kecerdasan buatan (AI) untuk memfitnah tokoh awam.

Beliau menegaskan kerajaan tidak berniat mengongkong kebebasan bersuara, selaras dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu pengkritik dikenakan tindakan. Namun, setiap kebebasan itu tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah atau kandungan berunsur jenayah.

“Kita bebas untuk bersuara, tetapi tidak bebas untuk menyebarkan fitnah sehingga mengakibatkan kerosakan besar kepada masyarakat dan negara. Perkara ini tidak boleh dibenarkan,” katanya.

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506203