AM

TPM, Menteri Kabinet Zahir Komitmen Perkukuh Kesejahteraan Rakyat Sempena Tahun Baharu 2026

01/01/2026 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Menyambut Tahun Baharu 2026, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota Kabinet menzahirkan harapan serta komitmen untuk terus memperkukuh kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara dalam mendepani cabaran mendatang.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid menyeru agar nilai kebersamaan, saling menghormati serta semangat membina masa depan yang lebih sejahtera terus dipelihara demi agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata 2026 menjadi lembaran baharu untuk semua pihak melangkah ke hadapan dengan kejayaan dan pencapaian yang lebih baik meskipun setiap tahun hadir dengan cabaran serta peluang tersendiri.

"Alhamdulillah… saya mendoakan agar tahun 2026 membawa kesejahteraan serta kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata seiring dengan penekanan terhadap usaha memperkasa tahap kesihatan rakyat, tahun 2026 akan menjadi fasa penting untuk memperkukuh reformasi sistem kesihatan negara.

"Tahun 2026 adalah tahun untuk kita memperkukuh reformasi dengan disiplin dan tekad… demi membina satu sistem kesihatan yang cekap, berdaya tahan dan kalis masa depan," katanya.

Bagi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya akan terus memperkukuh reformasi, meningkatkan kecekapan serta memperhalusi pendekatan berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan integriti dalam menjayakan aspirasi Kerajaan MADANI.

Beliau berkata memasuki tahun 2026, Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan momentum pembaharuan dengan iltizam yang lebih utuh bagi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta memastikan setiap amanah dilaksanakan secara profesional dan berintegriti.

Menteri Digital Gobind Singh Deo pula menyeru rakyat Malaysia menyambut tahun baharu dengan semangat dan optimisme selain menekankan kepentingan perpaduan serta usaha berterusan untuk membina masa depan negara yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan.

Mengulas mengenai cabaran global yang semakin pantas berubah, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menggesa semua pihak agar melangkah ke hadapan dengan keyakinan, kebijaksanaan dan semangat kebersamaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tahun 2025 menyaksikan langkah penting dalam reformasi undang-undang dan institusi termasuk pengukuhan kebebasan Parlimen serta memperkasa akses kepada keadilan di bawah Kerajaan MADANI.

"Melangkah ke 2026, segala usaha ini akan diperkukuh dan diperhebat dengan fokus kepada pelaksanaan yang berkesan serta reformasi yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan generasi masa depan termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia, RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Pendanaan Politik," katanya.

Menyentuh aspek kerohanian dan keharmonian sosial, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata Malaysia kekal stabil, aman serta harmoni sepanjang 2025, dengan pencapaian cemerlang termasuk dalam pengurusan hal ehwal Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata prestasi berkenaan merangkumi pengurusan haji, pensijilan halal, kewangan Islam serta perkembangan zakat, wakaf dan pendidikan Islam yang terus diperkasa.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sim menyeru sektor pelancongan, seni dan budaya diperkasa sebagai pemangkin ekonomi serta wadah perpaduan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 selain menampilkan negara sebagai destinasi pelancongan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Turut menyampaikan ucapan Tahun Baharu 2026 di platform media sosial ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507898