LIBREVILLE, 2 Jan (Bernama-Xinhua) -- Presiden Gabon Brice Clotaire Oligui Nguema pada Khamis mengumumkan pembentukan kerajaan baharu yang terdiri daripada 31 anggota, lapor Xinhua.
Rombakan Kabinet itu dibuat susulan pilihan raya perundangan dan pihak berkuasa tempatan yang diadakan pada akhir 2025.
Beberapa menteri baharu dilantik ke jawatan penting, termasuk portfolio dalam negeri, hal ehwal luar, kehakiman, petroleum, serta ekonomi dan kewangan.
Presiden mengekalkan beberapa sekutu rapatnya dalam portfolio utama, termasuk Ulrich Manfoumbi Manfoumbi sebagai Menteri Pengangkutan, Perdagangan Perkapalan dan Logistik, Brigitte Onkanowa sebagai Menteri Pertahanan Negara serta Camelia Ntoutoume Leclercq sebagai Menteri Pendidikan.
Kabinet kerajaan baharu itu merangkumi 11 wanita dan 20 lelaki. Di bawah Perlembagaan Gabon, presiden juga berperanan sebagai ketua kerajaan.
-- BERNAMA-XINHUA