Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi and Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu dengan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM) 20 terus meningkat disokong oleh kenaikan di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran diperkukuh oleh langkah rangsangan terkini China dan kebimbangan mengenai pengurangan bekalan bahan mentah di negara pengeluar getah asli utama akibat cuaca lembap yang berterusan.
Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya terbatas disebabkan harga minyak mentah yang rendah.
“Niaga hadapan getah Jepun kekal stabil pada Rabu selepas mencapai paras tertinggi 10 bulan sebelum ini susulan kebimbangan cuaca lembap di negara pengeluar utama Thailand boleh mengganggu pengeluaran.
“Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran tentang ribut petir dan hujan lebat di kawasan terpencil wilayah selatan dari 6 hingga 9 Januari, sebuah kawasan pengeluar getah utama yang terus memberikan tekanan menaik ke atas harga,” katanya kepada Bernama.
Secara global, beliau berkata harga minyak turun selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan AS telah mencapai perjanjian untuk mengimport minyak mentah Venezuela bernilai US$2 bilion, meningkatkan jangkaan bekalan minyak yang lebih banyak kepada pengguna terbesar dunia itu.
Pada 3 petang, GMM 20 meningkat 4.5 sen kepada 764.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun satu sen kepada 577 sen sekilogram.
-- BERNAMA