GAYA HIDUP

Tidak Perlu Rutin Kompleks Untuk Kulit Sihat

09/01/2026 12:34 PM

Oleh Nurhafizah Tan

PETALING JAYA, 9 Jan (Bernama) -- Keinginan untuk tampil cantik dengan kulit yang sihat menjadi idaman sesiapa sahaja sehingga mendorong sesetengah individu terlalu  ghairah untuk mencuba pelbagai rutin penjagaan kulit yang kian kompleks sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian. 

Apatah lagi dengan pelbagai produk penjagaan kulit yang mudah didapati sama ada pada harga mampu milik ataupun premium, kebanyakan pengguna tidak keberatan untuk berbelanja dan bereksperimen, asalkan dapat mencapai serta memuaskan hati demi memperoleh kulit idaman.

Kini trend penjagaan kulit yang tersohor seperti "10-step Korean Skincare Routine" yang melibatkan pemakaian pelbagai produk semakin menjadi fenomena dan ikutan pengguna, akan tetapi apakah rutin yang agak rumit serta kompleks itu benar-benar menjamin keberkesanan untuk mendapatkan kulit yang sihat?

Bagi pakar dermatologi Dr Benji Teoh Tze Yuen, pengguna sewajarnya tidak perlu terlalu mengejar trend hanya semata-mata kerana ingin memiliki kulit yang sihat dan cantik, sebaliknya memilih produk kecantikan berdasarkan masalah kulit serta menggunakannya secara minimum. 

"Misal kata anda ada masalah bintik usia atau pigmentasi, guna satu atau dua bahan (aktif) yang dapat mengatasi masalah itupun mungkin sudah memadai.

pic-2

"Tak payah sampai 10 atau 20 langkah...kadang-kadang repeat benda yang sama, membazir duit saja," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Cetaphil Ceramide Repair Lotion yang turut dihadiri selebriti Amelia Henderson sebagai hos. 

Tidak menafikan kebanyakan bahan dalam produk penjagaan kulit biarpun tidak membahayakan,  beliau berkata terdapat sesetengah bahan kimia tertentu yang berisiko  menyebabkan iritasi sekiranya digunakan secara berlebihan 

Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap pengguna menurutnya tidak kira lelaki ataupun wanita untuk memahami terlebih dahulu akan keperluan kulit mereka serta mengutamakan rutin paling asas seperti pelembap dan pelindung cahaya matahari sebelum menambah langkah-langkah lain.

Selain itu, pakar turut mengingatkan bahawa penjagaan kulit bukan sekadar soal kosmetik, sebaliknya melibatkan kesihatan tubuh secara menyeluruh memandangkan kulit merupakan organ terbesar manusia yang terdedah kepada pelbagai risiko penyakit.

“Walaupun kita nampak kulit sikit saja, ia sebenarnya mengambil 16 peratus daripada berat badan kita dan boleh mengalami pelbagai masalah selain kosmetik,” katanya sambil menambah pendekatan minimalistik dalam penjagaan kulit akan mengurangkan risiko kerosakan serta menjimatkan masa dan kos. 

pic-3

Sementara itu, pelakon Amelia yang turut berkongsi pengalaman peribadinya dalam penjagaan kulit, menekankan kepentingan pengambilan air secukupnya serta tidur  berkualiti selain daripada penggunaan pelembap, pelindung matahari (SPF) dan gaya hidup sihat.

"Dari dulu lagi, benda yang paling penting saya tekankan pada orang adalah moisturising. Dahulu, saya pernah lalui satu fasa kulit break out teruk dan situasi itu betul-betul menjejaskan keyakinan diri, sampai takut nak keluar rumah.

"Dalam fasa itu, saya ingat sekiranya pakai krim pelembap, kulit akan jadi lagi teruk. Tapi apa yang saya belajar, kulit kita boleh jadi oily disebabkan dehydration (penghidratan)  apabila tak cukup lembap (kerana ia) akan overproduce oil, menyumbat pori seterusnya memburukkan keadaan kulit," katanya. 

Bagi hos Studio Sembang itu, penjagaan kulit bukan sekadar untuk kecantikan tetapi juga sebagai  menghormati diri sendiri, sekali gus akan menyuntik keyakinan diri dan memberi kesan positif kepada kehidupan harian seseorang serta hubungan dengan orang sekeliling.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510547