SUKAN

Muhammad Haqimi Azim Sertai TFC Secara Pinjaman

09/01/2026 02:34 PM

KUALA NERUS, 9 Jan (Bernama) -- Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Haqimi Azim Rosli secara rasmi dipinjamkan ke Terengganu FC (TFC) pada jendela perpindahan kedua musim 2025/2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Bajrai berkata pemain kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu dipinjamkan bagi membantu skuad Penyu mengharungi baki saingan Liga Super dan cabaran Piala Malaysia yang bakal berakhir Mei tahun ini.

Beliau berkata kehadiran Muhammad Haqimi Azim diyakini akan memberikan nilai tambah serta membantu memperkuat jentera serangan yang ketika ini berdepan masalah kritikal selepas tonggak import utama Yan Mabella mengalami kecederaan.

“TFC percaya kualiti yang dimiliki beliau (Muhammad Haqimi Azim) akan membantu meningkatkan pencapaian pasukan yang ketika ini berada di kedudukan kelima Liga Super.

“Beliau juga telah menyatakan hasrat menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi membantu Terengganu meraih kejayaan dalam setiap perlawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510614