SEREMBAN, 10 Jan (Bernama) -- Menentang pasukan juara seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, tetapi turut menuntut ketahanan mental serta tahap konsistensi yang tinggi, kata Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC Mohd Nidzam Jamil.
Beliau berkata susulan kekalahan tipis 0-1 kepada JDT pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini malam tadi, pasukannya memperoleh pengajaran penting, iaitu perlu mengekalkan fokus, intensiti dan kawalan permainan hingga ke minit terakhir.
“Pemain tahap tertinggi memerlukan konsentrasi yang baik dari minit ke minit. Pada ketika ini, itulah perbezaan kami dengan JDT. Mereka sudah melalui proses perkembangan yang sangat baik dan mampu mengekalkan intensiti yang sama sehingga akhir perlawanan.
“Dalam bola sepak, kalau tidak melalui fasa-fasa itu, kita akan dihukum. Ia satu hakikat yang pahit untuk ditelan, tetapi pasukan perlu belajar untuk menjadi big boys dalam liga,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Mengulas tahap komitmen pemain, Nidzam berkata pasukannya memberikan sepenuh usaha dan berjuang sehingga penghujung perlawanan.
“Dari segi komitmen, saya tiada isu. Pasukan masih mampu bersaing sehingga minit ke-96 atau ke-97. Itu menunjukkan kesungguhan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Nidzam enggan mengulas isu kelewatan pengadil, S. Logeswaran meniupkan wisel penamat sehingga melepasi tempoh masa tambahan tujuh minit.
Perlawanan itu menyaksikan JDT menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-98 menerusi Manuel Hidalgo.
"Saya tak pegang wisel...saya tak pasti, mungkin masa berlainan, jam tangan masing-masing, tapi kita kena kekal positif.
"Bukan isu sembilan minit, 10 minit, isunya kita kena kekal fokus, kita tak boleh kawal pengadil, tak boleh kawal suasana, paling penting cara kita bermain, bagaimana kita nak mengawal pergerakan lawan dan kekalkan fokus perlawanan, itu isunya,” katanya.
Mengulas ketegangan dalam kalangan penyokong, Nidzam menasihatkan agar bola sepak tidak dijadikan medan permusuhan, sebaliknya diraikan sebagai sukan yang menyatukan.
Mohd Nidzam berkata lagipun ramai penyokong yang hadir ke stadium bersama keluarga, dan sekiranya bola sepak dicemari dengan insiden pergaduhan, ia akan memberi gambaran negatif terhadap sukan itu.
-- BERNAMA