JENAYAH & MAHKAMAH

Rasuah Perolehan Projek Tentera: SPRM Sita Wang Tunai, Emas RM6.9 Juta

09/01/2026 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM6.9 juta susulan siasatan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menurut sumber, wang tunai yang disita itu meliputi nilai dalam mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD), Euro, Pound, Yen (Jepun), dan Riyal (Arab Saudi).

Sumber berkata sitaan itu hasil pemeriksaan SVR di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang yang dipercayai ditinggalkan untuk tujuan pembaikan. 

“Barang kemas yang disita ialah tiga unit jongkong emas 999 yang setiap satunya seberat satu kilogram, yang nilai semasanya kira-kira RM1.8 juta.

“Turut disita sembilan keping emas yang setiap satunya seberat 100 gram yang nilai semasanya lebih setengah juta ringgit, di samping SVR yang dianggarkan bernilai kira-kira RM360,000 dan dipercayai dibeli secara tunai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan sambil berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Semalam, seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM.

Ketiga-tiga individu itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Pada 23 Dis lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan bagi menjalankan siasatan awal dan fokus siasatan tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Pada Selasa, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510765