BUTTERWORTH, 12 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki warga Pakistan maut manakala rakan senegaranya cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh tembok Plaza Tol Sungai Dua di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa yang cedera juga penumpang dikenal pasti sebagai Zafar Iqbal, 42, manakala identiti lelaki yang maut belum dikenal pasti.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.43 malam berhubung insiden itu yang membabitkan kenderaan jenis Perodua Aruz.
"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas tiba di lokasi dan terdapat dua mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan dengan penumpang telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
"Mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas kebombaan dalam tempoh 15 minit dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
-- BERNAMA