POLITIK

PAU 2025: UMNO Johor Fokus Pembangunan, Perpaduan Dan Pengukuhan Parti

11/01/2026 08:56 PM

JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) -- UMNO Johor akan membawa agenda pembangunan negeri, perpaduan serta pengukuhan parti secara dalaman dan keseluruhan pasukan Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Halim Suleiman berkata fokus itu selari dengan kehendak akar umbi yang menekankan keperluan memperkukuh UMNO sebagai sebuah parti dominan dan stabil dalam landskap politik negara.

“Penekanan utama UMNO Johor adalah memperkukuh parti daripada dalam, mengukuhkan UMNO secara menyeluruh serta memperkasa kerjasama dalam pasukan BN, di samping memastikan agenda pembangunan dan perpaduan terus menjadi keutamaan,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata isu-isu berkaitan ekonomi dan pendidikan turut menjadi antara dasar penting yang dibangkitkan oleh perwakilan Johor untuk dibawa ke peringkat nasional.

Sebanyak 390 perwakilan UMNO Johor akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2025. 

UMNO menerima 662 usul daripada 175 bahagian sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 minggu depan, dengan tiada usul mencadangkan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri dijadualkan pada 14 Jan di Dewan Merdeka dan diteruskan dengan persidangan sayap pada keesokannya.

Perhimpunan Agung UMNO pula bermula secara rasmi pada 16 Jan, dengan majlis menaikkan bendera sebelum ucapan dasar Presiden UMNO diikuti sesi perbahasan. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511262