JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Dadah Bernilai Lebih RM328,000 Di Kuching

13/01/2026 07:54 PM

KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 7.66 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM328,173.50, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata tangkapan dilakukan antara 3.40 petang hingga 7.50 malam 8 Jan melibatkan suspek berusia 42 dan 38 tahun.

“Suspek 42 tahun berperanan sebagai penjaga stor dan penghantar dadah manakala seorang lagi bertindak mengambil bekalan dadah untuk disimpan sebelum diedar di sekitar Kuching.

“Dadah dirampas terdiri daripada syabu seberat 5.66 kg, ketamin (1.82 kg), pil Erimin 5 (0.12 kg) dan ekstasi (0.06 kg) yang boleh digunakan 32,573 penagih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Alexson berkata suspek 42 tahun juga didapati positif methamphetamine dan amphetamine manakala suspek 38 tahun positif benzo.

Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari bermula 9 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512058