MELAKA, 12 Jan (Bernama) -- Kes saman fitnah yang difailkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan diteruskan dengan perbicaraan selepas penyelesaian secara baik gagal dicapai melalui proses pengantaraan.
Peguam Datuk Sankara Nair, yang mewakili Kok, berkata kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk penyelesaian di luar mahkamah dalam proses pengantaraan di hadapan Timbalan Pendaftar Suzana Mokhtar di Pusat Mediasi Mahkamah Melaka hari ini.
“Perbicaraan ditetapkan pada 12 dan 13 Feb ini di Mahkamah Tinggi Melaka... jadi, kami akan jumpa dia di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di luar pusat berkenaan.
Pengantaraan adalah alternatif kepada penyelesaian kes tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh.
Terdahulu, prosiding pengantaraan yang berlangsung hampir sejam itu dihadiri oleh Sankara Nair, Kok, Dr Muhamad Akmal dan peguam Syahrul Sazwan Salehin yang mewakili ahli politik berkenaan.
Menerusi saman yang difailkan pada 25 Okt 2024, Kok mendakwa Dr Muhamad Akmal membuat kenyataan menghina dan merendahkan yang menggambarkan beliau tidak mempunyai pengetahuan khususnya mengenai pensijilan halal serta menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.
Kenyataan itu didakwa dibuat oleh Dr Muhamad Akmal dalam video di aplikasi TikTok pada 7 Sept 2024.
Kok menamakan Dr Muhamad Akmal selaku defendan tunggal serta menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu.
Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu daripada terus menyebut, menulis atau menerbitkan perkataan yang memfitnahnya serta relief lain yang difikirkan adil serta sesuai oleh mahkamah.
-- BERNAMA