AM

Dakwaan Lewat Proses MyKad Pelajar Beri Gambaran Tidak Tepat - Saifuddin Nasution

13/01/2026 02:23 PM

ALOR SETAR, 13 Jan (Bernama) -- Tindakan sekumpulan peguam membidas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana dikatakan gagal meneruskan proses mencetak dan mengeluarkan MyKad seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun telah memberikan gambaran tidak tepat. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata JPN dilihat seolah-olah sengaja melengahkan pelaksanaan perintah mahkamah berhubung pemberian kewarganegaraan kepada remaja itu, sedangkan proses sedang dilaksanakan mengikut undang-undang dan prosedur ditetapkan.

Beliau berkata kes itu dikesan apabila ibu bapa remaja terbabit hadir ke JPN untuk membuat permohonan, sebelum siasatan mendapati sijil kelahiran remaja itu diperoleh secara tidak sah melalui sebuah hospital swasta yang disenarai hitam oleh JPN kerana terlibat dalam sindiket pengeluaran maklumat kelahiran palsu.

“Melalui penampilan fizikal, didapati anak ini dan ibu bapanya langsung tidak seiras. Ibu bapa mengetahui bahawa sijil kelahiran anak ini diperoleh secara tidak sah ketika bayi.

"Apabila anak ini meningkat usia, perbezaan (fizikal) tersebut menjadi ketara. Pengakuan ini tidak disebut oleh (kumpulan) peguam itu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Kedah, di sini hari ini.

Saifuddin berkata JPN tidak mempunyai sebarang isu untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 8 Dis 2025, yang memutuskan remaja itu layak diberikan kewarganegaraan selaras dengan Perkara 14(1)(i) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berkata proses perlu dimulakan dengan pengeluaran sijil kelahiran yang sah melalui pendaftaran lewat.

“Proses ini hanya memerlukan pengisian borang serta pengesahan saksi, dan dakwaan bahawa JPN mempersulitkan proses atau mensyaratkan sokongan wakil rakyat adalah tidak benar,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan peguam mewakili remaja yang disahkan mahkamah pada bulan lepas sebagai seorang warganegara Malaysia, membidas JPN kerana didakwa enggan mematuhi arahan hakim.

Pada 8 Dis 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja yang selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Saifuddin kemudian menegaskan JPN akan melaksanakan sepenuhnya perintah mahkamah dan selepas sijil kelahiran sah diperoleh, MyKad akan dikeluarkan seperti biasa.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511866