JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Jurulatih Bola Sepak Disyaki Liwat, Cabul Remaja Lelaki 15 Tahun Di Kota Tinggi

13/01/2026 03:23 PM

KOTA TINGGI, 13 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang jurulatih bola sepak kerana disyaki meliwat dan mencabul seorang remaja lelaki di sebuah pondok di hadapan kediamannya di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini, Khamis lepas. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusuf Othman berkata laporan dibuat sendiri oleh mangsa yang berusia 15 tahun, sehari selepas kejadian.

Polis kemudiannya menahan lelaki berusia lingkungan 50-an itu semasa berada di kampung berkenaan pada hari yang sama bagi membantu siasatan. 

“Mereka merupakan jiran dan kejadian ini pertama kali berlaku. Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan suspek direman empat hari hingga hari ini. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511900