AM

Imej Reka Bentuk Pasport, MyKad Baharu Yang Tular Tidak Sahih - KDN

13/01/2026 05:34 PM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan kesahihan imej reka bentuk baharu pasport dan MyKad, yang tular dalam media sosial serta menegaskan bahawa imej berkenaan bukan keluaran rasmi kementerian itu.

Dalam kenyataan hari ini, KDN memaklumkan bahawa rekaan visual yang tersebar itu tidak sahih dan tidak menggambarkan reka bentuk sebenar pasport atau MyKad baharu seperti yang didakwa.

"Segala maklumat rasmi berkaitan reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan pasport dan MyKad ini akan diumumkan oleh KDN melalui saluran komunikasi rasmi dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Pada 8 Jan lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat pengumuman rasmi berkaitan perancangan pelaksanaan pasport dan MyKad baharu pada tahun ini.

KDN turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan berautoriti bagi memastikan ketepatan serta kesahihan sesuatu maklumat.

Perkembangan rasmi berkaitan perkara itu boleh didapati melalui laman web dan media rasmi KDN serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), iaitu www.moha.gov.my, www.imi.gov.my dan www.jpn.gov.my.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511984