EKONOMI

Kewangan Islam Berpotensi Sediakan Penyelesaian Untuk Keterangkuman, Perubahan Iklim - Bank Dunia

13/01/2026 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kewangan Islam telah menunjukkan potensinya untuk menyediakan penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran berkaitan rangkuman dan perubahan iklim, kata Bank Dunia hari ini,

Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia untuk Malaysia Judith Green berkata aset kewangan Islam global dianggarkan sebanyak AS$3.9 trilion pada akhir 2024 dan terdapat potensi yang besar untuk memanfaatkan kewangan Islam selanjutnya seiring dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) dan matlamat iklim, berdasarkan prinsip teras kewangan Islam.

Bagaimanapun, memetik laporan "Kewangan Islam dan Agenda Iklim" oleh Bank Dunia-Bank Pembangunan Islam yang baru dilancarkan, Green berkata laporan itu menganggarkan 4.6 peratus pembiayaan Islam global yang dikumpul antara 2017 dan 2024 telah dikaitkan dengan aktiviti hijau dan mampan.

"Jelas sekali, kewangan Islam boleh memainkan peranan penting dalam merapatkan sebahagian daripada jurang pembiayaan SDG global," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada pelancaran laporan itu di sini hari ini.

Green berkata Kumpulan Bank Dunia menyedari peningkatan permintaan daripada negara kliennya untuk memenuhi keperluan pembiayaan iklim mereka melalui instrumen kewangan Islam memandangkan kewangan Islam memberikan peluang unik untuk menggerakkan sumber dengan cara yang mematuhi peraturan kewangan Islam dan selaras dengan objektif kemampanan.

“Penglibatan Kumpulan Bank Dunia dalam kewangan Islam secara langsung berkaitan dengan usaha kami untuk memperluas akses dan penggunaan perkhidmatan kewangan di negara-negara klien terutamanya untuk golongan rentan termasuk wanita.

“Kami telah bekerjasama dengan negara-negara klien untuk menyesuaikan produk kewangan konvensional, menjadikannya patuh shariah sekali gus memperluaskan rangkaian instrumen kewangan Islam,” katanya

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511906