SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) -- Tiga lelaki dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah lebih 73.7 kilogram (kg), pada Ogos 2021.
Hakim Dr Wendy Ooi Su Ghee memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Amiruddin Abd Hadi, 30, V. Vijandran Nair, 35, dan Muhammad Faiz Ahmad, 36, pada prosiding akhir pendakwaan.
Beliau berkata terdapat kelemahan serius dalam kes pendakwaan yang dikemukakan terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Dalam alasan ringkas penghakiman, Hakim Wendy berkata terdapat percanggahan keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya berkaitan pengecaman barang kes dan jumlah kotak dadah yang dirampas.
“Mahkamah turut mengambil perhatian terhadap kegagalan polis mengemukakan gambar semasa rampasan dilakukan, selain kegagalan mengemukakan rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV).
“Di samping itu, pegawai penyiasat telah gagal menyiasat keterangan yang diberikan oleh tertuduh, sekali gus menjejaskan kredibiliti keseluruhan kes pendakwaan dan memprejudiskan pembelaan tertuduh. Susulan keputusan itu, ketiga-tiga tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 73,708.40 gram di tepi sebuah rumah di Taman Batu Caves, Gombak kira-kira 3 petang, 6 Ogos 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd Ali.
Muhammad Amiruddin diwakili oleh peguam Nik Saiful Adli Burhan, Muhamad Asri Abdul Hamid dan Md Yusuf Md Idris, manakala Vijandran Nair diwakili peguam Zulkifli Awang serta Mohd Ruzaini Zulkifli.
Muhammad Faiz pula diwakili oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent.
-- BERNAMA