JOHOR BAHRU, 13 Jan (Bernama) -- Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak Ogos tahun lepas menerusi serbuan ke sebuah rumah teres setingkat di Taman Bukit Indah di sini minggu lepas, melibatkan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM2.07 juta.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 4.20 petang 9 Jan merampas pelbagai jenis dadah seberat 21.75 kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.45 juta.
“Hasil risikan berterusan, polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 43 hingga 53 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan negara jiran.
““Suspek pertama berperanan sebagai ketua manakala yang lain ahli sindiket. Mereka menjadikan rumah teres sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini hari ini.
Dadah dirampas ialah syabu seberat 15.29 kg, serbuk MDMA (5.37 kg), pil ekstasi (338.70 gram), ketamin (297.10 gram), ganja (798 gram) dan pil Yaba (159.50 gram) selain pelbagai peralatan menghisap serta pembungkusan semula dadah.
Ab Rahaman berkata jumlah dadah itu dianggarkan mampu merosakkan 98,203 orang.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Ab Rahaman berkata semua suspek positif dadah methamphetamine dan direman sehingga 16 Jan.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati empat suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
Selain itu, beliau berkata polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah sitaan bernilai RM616,010 melibatkan enam kereta, dua motosikal, wang tunai RM270,150 dan sebentuk cincin emas.
Ab Rahaman berkata kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka terlibat pengedaran dadah.
-- BERNAMA