SERDANG, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) memperluas inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa kepada empat kategori institusi pengajian pada tahun ini, kata Menteri berkenaan Anthony Loke.
Empat kategori berkenaan ialah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Malaysia (ILJTM), Universiti Separa Kerajaan (GLU), dan Institusi Pengajian Tinggi Milik Kerajaan Negeri (IPT).
Beliau berkata sebanyak RM24 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif FLYsiswa sebagai program tahunan MOT mulai 2025 dan dijangka memanfaatkan 60,000 pelajar.
Melalui inisiatif itu, Loke berkata setiap pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 daripada satu syarikat penerbangan yang terlibat, iaitu Malaysia Airlines Bhd, AirAsia Bhd dan Batik Air termasuk Firefly dan Air Borneo.
“(Perluasan inisiatif) dijangka memanfaatkan tambahan sebanyak 6,278 pelajar dan pada masa yang sama mengiktiraf peranan penting institusi ini dalam pembangunan modal insan negara,” katanya ketika berucap pada Karnival Pengangkutan Siswa MADANI dan FLYsiswa 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Loke berkata sejak pelaksanaan FLYsiswa pada 2023 hingga 2025, sebanyak 119,790 pelajar atau 75.53 peratus daripada keseluruhan 158,600 pelajar yang layak telah menerima manfaat daripada bantuan subsidi tiket penerbangan ini.
“Inisiatif FLYsiswa, iaitu bantuan subsidi tiket penerbangan khusus kepada pelajar, ialah suatu inisiatif kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman.
“Pelaksanaan inisiatif ini juga merupakan antara usaha Kerajaan MADANI untuk merapatkan jurang Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan secara tidak langsung dari aspek kekeluargaan, harmoni dan kesejahteraan rakyat termasuk golongan pelajar,” katanya.
Dalam sidang media berasingan, Loke mengingatkan pelajar untuk menggunakan inisiatif FLYsiswa sebaik-baiknya kerana baucar digital itu boleh digunakan untuk membeli tiket penerbangan beberapa kali.
“Baucar digital itu bukannya beli untuk satu tiket. (Bergantung pada) nilai tiket penerbangan, jika tiket itu hanya RM180, maka dia (pelajar) boleh pakai untuk kali kedua sebab ada penerbangan kalau dibeli awal harganya murah.
“Jadi, terpulang kepada pelajar. Kita ingin beri kebebasan kepada pelajar, jadi mereka kena pandai mengurus jadual penerbangan dan kewangan,” katanya.
-- BERNAMA