KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- AirBorneo yang sebelum ini beroperasi di bawah kod penerbangan MH (siri MH3000) akan beralih ke kod penerbangan MY (siri MY3000) berkuat kuasa 14 Januari.
Ini berikutan peralihan yang dirancang oleh syarikat penerbangan berkenaan kepada Sistem Kawalan Pelepasan (DCS) miliknya sendiri.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata perkara ini disampaikan kepadanya selepas taklimat operasi daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo yang baru dilantik Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin hari ini.
Beliau berkata pengurusan AirBorneo juga menggariskan persiapan untuk pemindahan DCS dari sistem MASwings terdahulu ke DCS AirBorneo (MY) termasuk koordinasi dengan pengendali lapangan terbang dan pihak berkepentingan yang relevan bagi memastikan operasi penerbangan berjalan lancar tanpa gangguan.
"Kementerian mengambil maklum dan menyambut baik jaminan iaitu pemindahan sistem yang dijadualkan pada 14 Januari akan dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang gangguan kepada jadual penerbangan, tempahan atau perkhidmatan penumpang.
"Saya diberi taklimat iaitu semua sistem akan terus beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh peralihan ini dan penumpang yang mengembara dalam tempoh berkenaan tidak akan mengalami sebarang perubahan pada jadual perjalanan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata pemindahan DCS akan dilaksanakan serentak di semua 21 lapangan terbang di Sabah, Sarawak dan Labuan yang disediakan oleh AirBorneo dengan kaunter daftar masuk lapangan terbang terus beroperasi seperti biasa.
"Penumpang mungkin melihat paparan maklumat penerbangan yang dikemas kini dan tanda arah yang memaparkan jenama AirBorneo serta kod penerbangan MY," tambahnya.
-- BERNAMA