KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Pemimpin yang bakal menggantikan Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menggalas amanah sebagai Premier Sarawak perlu memiliki keperibadian kukuh, integriti yang tinggi serta keikhlasan dalam berkhidmat kepada rakyat.
Abang Johari berkata pemilihan pemimpin tertinggi negeri itu bukan ditentukan oleh individu atau parti politik semata-mata, sebaliknya ia terpulang sepenuhnya kepada suara rakyat.
“Rakyat mesti melihat potensi seseorang yang boleh memegang jawatan ini kerana ia amanah yang sangat berat kerana apa yang kita lakukan hari ini akan dipertanggungjawabkan kelak.
“Ini pandangan saya … saya beri pendidikan percuma sebab dalam Islam apabila kita meninggal dunia, hanya amalan kita (sewaktu hidup) akan membantu kita di akhirat. Kalau tidak kerana anda (rakyat) manalah saya dapat jadi Premier,” katanya pada program ‘Townhall Premier Sembilan Tahun Bersama YAB Premier Sarawak’, malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang penonton yang bertanyakan siapa individu berpotensi menggantikannya sebagai Premier Sarawak pada masa hadapan.
Berkecimpung dalam arena politik selama lebih empat dekad, beliau menekankan integriti menjadi elemen paling penting dalam kepimpinan kerana sebarang kesilapan atau penyalahgunaan kuasa boleh memberikan kesan besar pada masa hadapan negeri.
Abang Johari berkata Sarawak memerlukan pemimpin yang memahami realiti masyarakat berbilang kaum dan agama, selain mampu mengekalkan keharmonian dan keamanan negeri dalam proses pembangunan negeri.
Beliau berkata barisan pemimpin muda perlu dilatih dan mempersiapkan diri supaya mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab besar, bukan sekadar terburu-buru mengejar jawatan Premier.
“Pemimpin mesti dilatih, saya ucapkan terima kasih kerana saya telah dilatih oleh pemimpin sebelum saya termasuklah Tun Abdul Rahman Ya'kub dan Tun Abdul Taib Mahmud. Masanya akan tiba, saya akan ‘bye-bye’… terpulang pada generasi akan datang untuk bangunkan Sarawak dengan cara baharu,” katanya.
-- BERNAMA