SHAH ALAM, 14 Jan (Bernama) -- Proses pemutihan sekolah agama swasta di Selangor akan dipergiat tahun ini bagi memastikan pihak pengurusan mematuhi aspek keselamatan, pendaftaran dan kesihatan selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin berkata usaha pemutihan itu akan dilaksanakan secara berfasa mengikut kategori sekolah dengan permulaan melibatkan semua sekolah tahfiz swasta.
“Kita telah selesai dengan pemutihan sekolah tahfiz pada Disember 2025 dan memberikan kelulusan bersyarat, sekarang kita akan menumpukan kepada sekolah rendah agama swasta,” katanya pada Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Salehuddin berkata langkah itu dilaksanakan selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua sekolah agama dan tahfiz di negeri ini mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan.
Menyentuh mengenai program Glamping With Pride di Hulu Langat, Salehuddin berkata MAIS akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memantau sebarang aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang dan hukum syarak.
“Walaupun mereka menyatakan program tersebut telah dibatalkan, kita tetap akan memantau bagi memastikan tiada cubaan untuk melaksanakannya secara senyap dan kita tidak mahu dikaburi dengan keputusan pembatalan, sebaliknya tetap berwaspada dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Salehuddin melancarkan Buku Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam Selangor (HATIS) 2025-2030 sebagai usaha strategik memperkasakan institusi Islam di negeri itu.
Salehuddin berkata pelan berkenaan bertujuan memastikan setiap perancangan dan tindakan MAIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat dijalankan secara teratur serta berkesan, selaras dengan aspirasi kelestarian dan kepentingan masyarakat Islam.
“Saya difahamkan sepanjang Januari hingga November 2025, pencapaian Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam di negeri Selangor adalah sebanyak 90 peratus.
“Saya berharap kita dapat meneruskan momentum kecemerlangan yang natijahnya akan menghasilkan satu kejayaan yang bermakna untuk umat Islam dan sebagai sebuah Institusi Islam yang menjadi contoh kepada negeri lain, saya menyeru, perkara yang telah ditetapkan dalam Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam ini dilaksanakan dengan jayanya dan seterusnya mencipta kecemerlangan,” katanya.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Sumbangan Wakaf Fisabilillah Institusi Pendidikan Islam, Masjid dan Surau berjumlah RM2.8 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Sumbangan Tabung Wakaf Tunai berjumlah RM346,000 kepada Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah.
-- BERNAMA