EKONOMI

KPK Perkenal Insentif RM3.5 Juta Bantu Peniaga Sawit Peroleh Pensijilan MSPO -- Noraini

11/04/2026 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkenalkan insentif berjumlah RM3.5 juta dalam usaha menyokong peniaga buah sawit memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata lebih daripada 3,000 peniaga buah sawit yang layak di seluruh negara dijangka menerima manfaat itu, tertakluk kepada syarat dan kelayakan ditetapkan.

Permohonan bagi insentif itu boleh dikemukakan kepada Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) mulai 15 April 2026 melalui sistem e-MSPO, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah proaktif kerajaan itu bagi membantu peniaga berkenaan memenuhi keperluan pematuhan semasa selain memperkukuh daya tahan rantaian bekalan sawit negara.  

“Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan menyeluruh MSPO 2.0, di samping menyokong agenda negara dalam memastikan industri sawit Malaysia terus berkembang secara mampan, bertanggungjawab dan berdaya tahan," katanya.

Pada masa sama, Noraini berkata inisiatif itu turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor sawit negara di pasaran domestik dan antarabangsa. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543652