SUKAN

Kemenangan Suntik Keyakinan Melaka FC

15/01/2026 12:16 PM

MELAKA, 15 Jan (Bernama) -- Kejayaan meraih tiga mata selepas menewaskan PDRM FC memberikan motivasi baharu buat pasukan Melaka FC yang sudah sekian lama tidak mengecapi kemenangan dalam saingan Liga Super.

Ketua Jurulatih Melaka FC E Elavarasan berkata walaupun pasukannya masih dalam proses penyesuaian tetapi para pemain telah mempamerkan komitmen dan semangat yang tinggi hingga membolehkan mereka berjaya mengekang gawang daripada dibolosi lawan.

“Kekuatan kita malam ini (semalam) ialah komitmen dan semangat pemain. Tiga mata adalah matlamat paling penting dan tidak dibolosi ini memberi keyakinan kepada pemain, khususnya ketika beraksi di laman sendiri.

"Pasukan ini belum sepenuhnya menyesuaikan diri dan para pemain sedang berusaha menyesuaikan diri dengan pelan taktikal yang diterapkan, namun komitmen tinggi ditunjukkan sepanjang perlawanan,” katanya selepas perlawanan yang menyaksikan Melaka FC menewaskan PDRM FC 3-0 di Stadium Hang Jebat, di sini malam tadi.

Gol-gol tuan rumah diperoleh menerusi jaringan Muhammad Sharel Fikri Md Fauzi pada minit ke-55 sebelum pertahanan PDRM FC Badrul Effendy Fadli tertampan bola ke gawang sendiri tiga minit kemudian, diikuti Abdul Azim Rahim yang melengkapkan kemenangan apabila menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-90

Elavarasan berkata pasukan itu masih dalam proses penyesuaian taktikal memandangkan ramai pemain baharu, selain masih menilai aspek fizikal dan teknikal bagi memastikan konsistensi prestasi dapat dikekalkan dalam perlawanan seterusnya.

Beliau berkata Melaka FC akan menurunkan barisan terbaik pada perlawanan menentang Sabah dalam saingan Piala Malaysia, Sabtu ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM FC Eddy Gapil akur dengan kekalahan itu dan mengakui dua gol mudah yang diperoleh tuan rumah dalam tempoh tiga minit, menjadi titik perubahan kepada pasukan bimbingannya walaupun pemain beraksi cemerlang pada separuh masa pertama.

PDRM FC dijadualkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Malaysia, Ahad ini.

Melaka kekal di kedudukan ke-12 Liga Super selepas mengumpul sembilan mata manakala PDRM FC di dasar liga dengan enam mata.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512664