KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari optimis kontinjen negara mampu mengulangi pencapaian muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2027 apabila Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mempunyai pelan perancangan serta garis masa yang jelas sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.
Dr Mohammed Taufiq berkata kejayaan kontinjen negara pada temasya di Thailand tahun lepas turut menjadi pemangkin kepada persiapan atlet negara kelak.
“Insya-Allah, kita tidak berganjak. Kita sangat optimis untuk mengekalkan kejuaraan (pada 2017) dan ranking kita. Kita akan pastikan Malaysia menjadi yang terbaik dalam Sukan SEA 2027.
“Garis masa kita jelas dan kita perlukan kerjasama semua pasukan di bawah kementerian. Saya yakin dengan kombinasi pasukan yang mantap ini, kita mampu untuk ke arah itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan di MSN, di sini, hari ini.
Beliau berkata penganjuran Sukan SEA 2027 bukan sahaja penting dari sudut pencapaian sukan, namun ia juga mencerminkan keyakinan negara luar terhadap kepimpinan Malaysia dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017 menyaksikan kontinjen negara melakar sejarah apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq mengumumkan insentif tambahan di bawah Skim hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan bayaran minimum RM1,000 setiap seorang bagi pemenang pingat gangsa di Sukan SEA tidak kira acara individu mahupun berpasukan.
“Kita juga mengumumkan insentif tambahan di bawah SHAKAM iaitu pingat emas RM20,000, perak RM3,000 dan gangsa RM1,000. Kebajikan atlet, jurulatih, dan kelengkapan fasiliti akan terus ditambah baik,” katanya.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq mengesahkan Pusat Atlet yang diwujudkan di Majlis Sukan Negara (MSN) telah siap sepenuhnya dan akan dirasmikan bulan depan.
“Kita telah membentuk sebuah Pusat Atlet di MSN supaya atlet dapat beriadah dan berehat dalam keadaan kondusif bagi menjaga kesihatan mental mereka,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Mohammed Taufiq berkata kelulusan turut diberikan untuk peluasan skim insentif merangkumi temasya Sukan Remaja, Sukan Orang Pekak serta kejohanan utama sukan para, melibatkan peruntukan RM10 juta setahun.
-- BERNAMA