EKONOMI

Maybank IB Unjur FBM KLCI Cecah 1,730 Menjelang Akhir 2026

15/01/2026 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan FBM KLCI mencecah paras 1,730 menjelang akhir 2026 di bawah senario realistiknya, manakala berdasarkan senario optimistik indeks utama itu dijangka meningkat kepada 1,850.

Ketua penyelidikan Maybank IB, Lim Sue Lin, berkata trajektori menaik itu sebahagian besarnya akan disokong oleh saham perbankan, memandangkan statusnya sebagai komponen terbesar FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), di samping kaunter wajaran tinggi seperti Gamuda dan Tenaga Nasional.

“Semua ini merupakan saham wajaran tinggi yang sejajar dengan trend yang diunjurkan bagi 2026, didorong terutamanya oleh faktor makroekonomi dan, yang lebih penting, sektor yang didorong aktiviti domestik,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai tinjauan makro dan pasaran Malaysia bagi 2026, hari ini.

Lim berkata Maybank IB juga telah mengambil kira senario pesimistik termasuk potensi peristiwa besar yang tidak dijangka dan perkembangan geopolitik, yang boleh menyebabkan FBM KLCI susut ke paras sekitar 1,550.

Mengenai pendapatan, beliau berkata bank pelaburan itu mengunjurkan pertumbuhan pendapatan keseluruhan kira-kira lapan peratus pada 2026, satu metrik utama yang dipantau rapi oleh pengurus dana dan pelabur, dengan sebahagian besar pertumbuhan masih datang daripada sektor perbankan.

Walaupun pertumbuhan pendapatan bank dijangka lebih sederhana pada sekitar lima peratus, sektor ini menyumbang kira-kira separuh daripada pendapatan FBM KLCI, menjadikan prestasinya sebagai penentu utama dalam trajektori keseluruhan indeks.

Beliau berkata sektor seperti pembinaan dan penjagaan kesihatan dijangka terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh, walaupun terdapat beberapa cabaran bagi sektor utiliti dan telekomunikasi.

Dalam sektor utiliti, Lim berkata Tenaga Nasional telah menyelesaikan isu cukainya pada November tahun lepas, tetapi kadar cukai efektif yang dijangkakan lebih tinggi boleh memberi kesan kepada pendapatan pada 2026.

"Kami menunggu penjelasan lanjut pada taklimat penganalisis keputusan tahun penuhnya pada akhir Februari," katanya.

Mengenai langkah strategik pra-pilihan raya pada tahun ini, Lim berkata masih terlalu awal untuk menjadikannya sebagai pendorong pasaran ekuiti memandangkan penggal parlimen sekarang berlangsung sehingga akhir 2027 dan belum ada sebarang kepastian berhubung pilihan raya awal.

Beliau berkata apa yang ditunggu pelabur adalah pengumuman Belanjawan 2027 pada lewat tahun ini, yang akan memberikan petunjuk lebih jelas sama ada penetapan dasar beralih ke arah pendirian yang didorong oleh pilihan raya.

"Dalam persekitaran pra-pilihan raya yang biasa, pelabur cenderung untuk melihat sektor seperti pengguna, infrastruktur dan bank," katanya, sambil menambah segmen ini kebiasaannya mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan fiskal dan sokongan dasar menjelang pilihan raya.

 

Ringgit dijangka terus kukuh disokong aliran masuk bon, kadar stabil 

 

Mengenai ringgit, ketua penyelidikan FX Maybank Singapura, Saktiandi Supaat, berkata prestasi mata wang tempatan mengatasi mata wang serantau lain, termasuk semasa kebangkitan semula pasaran pada November 2025, mencerminkan daya tahan relatifnya.

Beliau berkata Maybank mengunjurkan ringgit diniagakan dalam jajaran 4.05 hingga 4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026.

Dari segi daya tahan, beliau berkata aliran masuk bon yang kukuh pada awal 2025 telah menjadi sumber sokongan utama untuk ringgit.

Saktiandi berkata pergerakan modal menggunakan dagangan pantas juga menyokong mata wang itu dan aliran ini dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat ini.

Bagaimanapun, masih terdapat ketidakpastian terutamanya mengenai tarif khusus AS, termasuk ke atas sektor semikonduktor yang boleh menjejaskan sentimen sekiranya ia berlaku.

Beliau berkata faktor lain yang boleh terus menyokong ringgit dan meningkatkan kestabilannya adalah jangkaan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar faedah pada 2.75 peratus bagi 2026, sekali gus membantu mengekalkan nilai mata wang tersebut.

Dalam keadaan ini, katanya, ringgit dijangka berlegar sekitar 4.00 hingga 4.05 pada suku pertama, dengan pergerakan dolar AS-ringgit berkemungkinan bergerak ke arah paras 4.00.

"Terdapat sedikit risiko potensi kadar pertukaran melaras secara berlebihan melebihi nilai keseimbangan jangka panjangnya sekiranya dolar AS kekal lemah pada separuh pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata ringgit boleh berada dalam purata 4.00 menjelang pertengahan tahun ini sebelum secara beransur-ansur meningkat ke arah paras 4.05 menjelang akhir tahun.

 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512835