WASHINGTON, 16 Jan (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengumumkan penubuhan “Lembaga Keamanan” untuk Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Adalah satu penghormatan besar untuk saya mengumumkan bahawa Lembaga Keamanan telah ditubuhkan. Anggota Lembaga akan diumumkan tidak lama lagi, namun saya boleh katakan dengan pasti bahawa ia adalah Lembaga paling hebat dan paling berprestij yang pernah dihimpunkan pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” kata Trump di Truth Social.
Utusan AS Steve Witkoff pada Rabu memaklumkan bahawa fasa kedua perjanjian gencatan senjata telah bermula sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara Trump untuk menamatkan serangan Israel di Semenanjung Gaza.
Dalam satu hantaran berasingan, Trump berkata fasa seterusnya dalam pelannya telah bermula “secara rasmi”.
“Sebagai Pengerusi Lembaga Keamanan, saya menyokong pembentukan sebuah Kerajaan Teknokrat Palestin yang baharu, Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza, yang disokong oleh Wakil Tinggi Lembaga, untuk mentadbir Gaza sepanjang tempoh peralihannya.
“Pemimpin Palestin ini komited sepenuhnya kepada masa depan yang aman!” katanya.
Trump berkata satu “perjanjian penyahtenteraan menyeluruh” dengan Hamas akan dicapai dengan sokongan Mesir, Turkiye dan Qatar.
Beliau berkata perjanjian yang dicadangkan itu akan menetapkan syarat bahawa kumpulan Palestin berkenaan mesti menyerahkan senjata mereka dan menghapuskan rangkaian terowongnya.
“Hamas mesti segera mematuhi komitmennya, termasuk memulangkan mayat terakhir kepada Israel, dan meneruskan proses penyahtenteraan penuh tanpa berlengah-lengah. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, mereka boleh melakukannya dengan cara mudah, atau cara sukar.
“Penduduk Gaza telah menderita terlalu lama. Masanya sudah tiba,” katanya.
Trump pada September 2025 mengumumkan pelan 20 perkara yang menggariskan rangka kerja gencatan senjata merangkumi pembebasan tawanan Israel, pengunduran Israel dari Gaza, pembentukan pentadbiran teknokrat, serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa, selain tuntutan supaya Hamas melucutkan senjata.
Israel telah membunuh lebih 71,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,300 yang lain dalam serangan kejam sejak Oktober 2023 yang memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Walaupun gencatan senjata bermula pada 10 Okt lepas, Israel terus melancarkan serangan yang mengorbankan 451 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 1,200 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
-- BERNAMA-ANADOLU