DUNIA

Bakal Duta Indonesia Ke Malaysia Mulakan Tugas Minggu Depan

17/01/2026 12:23 PM

JAKARTA, 16 Jan (Bernama) -- Bakal Duta Indonesia ke Malaysia, Datuk Iman Hascarya Kusumo, dijangka memulakan tugas secara rasmi minggu depan.

Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa Iman dijadualkan mempersembahkan watikah pelantikan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum memulakan tugasnya secara rasmi.

Menerusi satu hantaran di media sosial, kedutaan itu menyatakan bahawa Iman yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Khamis, disambut oleh Timbalan Ketua Perwakilan Indonesia Danang Waskito, Atase Pertahanan Tri Andi, serta pegawai protokol Malaysia.

Iman, yang tidak pernah berkhidmat sebagai seorang diplomat, sebelum ini merupakan sebagai Timbalan Bendahari Pasukan Kempen Nasional Prabowo-Gibran Rakabuming Raka semasa Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024.

Beliau menggantikan Datuk Hermono yang pulang ke Jakarta pada akhir November lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513457