PASARAN

Aktiviti Pengambilan Untung Dorong Bursa Malaysia Dibuka Rendah

19/01/2026 11:20 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Aktiviti pengambilan untung mendorong Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin berikutan harga saham yang tidak banyak berubah selepas melepasi paras tertinggi baharu untuk beberapa kali pada minggu lepas.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)  merosot 4.38 mata kepada 1,708.36 daripada 1,712.74 semasa ditutup pada Jumaat lepas selepas dibuka rendah 2.17 mata kepada 1,710.57.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 214 berbanding 100. Sejumlah 302 kaunter tidak berubah manakala 2,039 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 113.37 juta saham bernilai RM78.95 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dalam dua minggu terakhir, Bursa Malaysia ditutup tinggi dan mencapai paras tertinggi baharu selama beberapa kali.

“Oleh itu, pada sesi pembukaan hari ini, kami melihat ini adalah masa untuk pasaran mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata Wall Street ditutup rendah berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan, dengan tuduhan jenayah terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell, terus memberi tekanan kepada sentimen pasaran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group, masing-masing merosot empat sen kepada RM11.12 dan RM8.37, IHH Healthcare dan Press Metal Aluminium, masing-masing berkurangan dua sen kepada RM8.36 dan RM7.26 manakala Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM13.88.

Dalam senarai paling aktif, AirAsia X merosot tiga sen kepada RM1.64, SMRT Holdings berkurangan 15.5 sen kepada 29 sen, VS Industry menurun setengah sen kepada 47.5 sen manakala Capital A naik setengah sen kepada 55 sen dan MAG Holding tidak berubah pada 17.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Allianz Malaysia, meningkat 96 sen kepada RM21.40, Hong Leong Financial Group melonjak 14 sen kepada RM21.10, Mesiniaga naik 12 sen kepada RM1.24, Malayan Cement menambah lapan sen kepada RM7.68 dan LPI Capital menokok lapan sen kepada RM7.68.

Kaunter paling rugi ialah Petronas Dagangan, merosot 14 sen kepada RM20.52, Petronas Gas dan Lysaght Galvanized Steel, masing-masing berkurangan 10 sen kepada RM18.58 dan RM2.31, Genting Plantations menurun tujuh sen kepada RM5.01 dan RHB Bank susut lima sen kepada RM8.17.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas berkurangan 32.09 mata kepada 12,612.94, Indeks FBM Top 100 merosot 32.42 mata kepada 12,404.30, Indeks FBM Emas Shariah menurun 28.00 mata kepada 12,274.82, Indeks FBM Mid 70 susut 48.80 mata kepada 17,636.80 dan Indeks FBM ACE merosot 4.56 mata kepada 4,968.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 33.59 mata kepada 20,692.22, Indeks Tenaga merosot 3.21 mata kepada 780.84, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.21 mata kepada 174.86 dan Indeks Perladangan susut 16.96 mata kepada 8,350.14.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513995