JAKARTA, 19 Jan (Bernama) -- Indonesia akan membenarkan perlombongan komuniti bagi menghalang amalan perlombongan haram di seluruh negara itu.
Timbalan Pengerusi Komisi VI Parlimen Indonesia yang menyelia perdagangan, industri, pelaburan, koperasi, PKS, dan perusahaan milik negara, Andrea Rosiade berkata kerajaan sedang mengusahakan dokumentasi berkaitan peraturan serta syarat permit perlombongan komuniti (IPR).
Beliau berkata Presiden Prabowo Subianto komited untuk menyegerakan pengeluaran permit bagi memastikan masyarakat dapat melombong secara sah dan mampan.
“Menteri Tenaga dan Sumber Mineral akan menghantar surat kepada DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) dalam masa terdekat bagi memulakan rundingan mengenai penentuan Kawasan Perlombongan (WP), sebelum Kawasan Perlombongan Komuniti (WPR) di dalam kawasan tersebut ditetapkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita ANTARA, pada Isnin.
Beliau berkata kerajaan wilayah juga dikehendaki menyediakan WPR serta garis panduan alam sekitar bagi perlombongan komuniti, dan setelah semua syarat dipenuhi, gabenor mempunyai kuasa untuk mengeluarkan IPR.
Perlombongan haram telah berleluasa di Indonesia, dengan aktiviti yang tidak dikawal sering mendatangkan risiko tinggi termasuk kematian, kecederaan parah akibat tanah runtuh dan runtuhan struktur, bahaya kesihatan serta kerosakan kepada alam sekitar.
Menurut agensi siasatan jenayah polis nasional, sebanyak 1,517 tapak perlombongan haram direkodkan di seluruh Indonesia setakat Oktober 2025, melibatkan komoditi seperti emas, arang batu, timah dan pasir.
Indonesia dilaporkan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak 40 trilion rupiah (1 Juta Rupiah = RM240) setahun hanya disebabkan oleh perlombongan timah haram dan aktiviti penyeludupan.
-- BERNAMA