PASARAN

Indeks Utama Bursa Malaysia Ditutup Tidak Berubah Dalam Persekitaran Sentimen Bercampur-campur Serantau

19/01/2026 07:29 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit selepas aktiviti belian pada saat akhir menyebabkannya meningkat ke paras tertinggi hari ini iaitu 1,712.33 ketika ditutup dalam persekitaran sentimen serantau yang bercampur-campur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.41 mata kepada 1,712.33 daripada paras penutup 1,712.74 pada Jumaat lepas.

FBM KLCI dibuka rendah turun 2.17 mata kepada 1,710.57, seterusnya turun ke paras rendah harian selepas satu jam dagangan sebelum kembali meningkat pada lewat sesi dagangan sehingga penutupan. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 778 berbanding 359, manakala 517 kaunter tidak berubah, 1,001 tidak diniagakan dan 11 digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.08 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 3.08 bilion unit bernilai RM3.08 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sebilangan pelabur terlibat dalam aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan baru-baru ini, manakala yang lain memilih beli pada saat akhit yang menunjukkan bahawa pasaran kekal berdaya tahan.

"Kami melihat aktiviti pengambilan untung ini sebagai pembetulan yang sihat bagi mengimbangi trend peningkatan baru-baru ini. Kami berpendapat selagi aliran masuk dana asing berterusan dan minat belian kekal tertumpu kepada saham-saham yang mempunyai fundamental kukuh, indeks penanda aras dijangka akan kekal berada di kedudukan lebih mantap.

“Tinjauan bagi jangka masa pendek kekal konstruktif dengan potensi untuk peningkatan beransur-ansur yang berterusan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata aktiviti pengambilan untung telah meningkat dengan penurunan meluas merentasi indeks FBM KLCI, FBM Mid 70 dan FBM SmallCap.

“Sikap berhati-hati pelabur didorong oleh kegelisahan terhadap geopolitik terbaharu susulan kenyataan hujung minggu daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai Greenland,” katanya.

Beliau berkata di peringkat global, pasaran AS ditutup pada Isnin sempena Hari Martin Luther King Jr, termasuk Bursa Saham New York, ia dijangka akan menjejaskan kecairan global dan berpotensi memberi kesan kepada keadaan dagangan di seluruh pasaran Asia pada sesi dagangan akan datang.

‘Selain itu, disebabkan permulaan musim pelaporan pendapatan korporat AS, kami menjangkakan Bursa Malaysia akan diniagakan dalam jajaran kecil memandangkan pelabur menunggu petunjuk luaran yang lebih jelas,” katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, CIMB Group dan Tenaga Nasional merosot empat sen masing-masing kepada RM8.37 dan RM13.82, Maybank tidak berubah pada RM11.16, manakala Public Bank melonjak tujuh sen kepada RM4.80 dan IHH Healthcare melonjak tiga sen kepada RM8.41.

Bagi saham aktif, AirAsia X menguncup dua sen kepada RM1.65, SMRT Holdings berkurangan 26 sen kepada 18.5 sen, Zetrix AI merosot satu sen kepada 80.5 sen dan Capital A turun empat sen kepada 50.5 sen, manakala Tanco Holdings naik satu sen kepada RM1.26.

Antara kalangan kaunter paling untung, Allianz Malaysia melonjak RM1.24 sen kepada RM21.68, Hong Leong Financial Group menambah 62 sen kepada RM21.58, Hong Leong Bank meningkat 36 sen kepada RM24.30, Petronas Dagangan melonjak 42 sen kepada RM21.08 dan Kuala Lumpur Kepong melonjak 40 sen kepada RM20.40.

Saham paling rugi menyaksikan Malaysian Pacific Industries merosot 76 sen kepada RM33.72,United Plantations turun 50 sen kepada RM31.20, RHB Bank berkurangan 12 sen kepada RM8.10, manakala MISC dan UWC berkurangan 11 sen masing-masing kepada RM7.69 dan RM4.47.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 33.49 mata kepada 12,611.54, Indeks FBM Top 100 turun 29.88 mata kepada 12,406.84, Indeks FBM Emas Shariah merosot 62.13 mata kepada 12,240.60, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 161.85 mata kepada 17,522.76 manakala Indeks FBM ACE menguncup 38.36 mata kepada 4,935.07

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 89.33 mata kepada 20,815.14, Indeks Tenaga turun 6.92 mata kepada 777.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.29 mata kepada 174.78 dan Indeks Perladangan susut 15.67 mata kepada 8,351.43.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan naik kepada 1.61 bilion unit bernilai RM2.47 bilion daripada 1.56 bilion unit bernilai RM2.77 bilion.

Dagangan waran turun kepada 846.15 juta unit bernilai RM103.22 juta daripada 1.04 billion unit bernilai RM140.83 juta sebelumnya.

Pasaran ACE naik kepada 622.52 juta unit bernilai RM194.23 juta daripada 475.95 juta unit bernilai RM173.76 juat Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 357.42 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (226.90 juta), pembinaan (223.88 juta), teknologi (245.87 juta), perkhidmatan kewangan (77.95 juta), hartanah (171.18 juta), perladangan (20.69 juta), amanah pelaburan hartanah (18.37), dana tertutup (26,100), tenaga (708.85 juta), penjagaan kesihatan (89.38 juta), telekomunikasi dan media (20.00 juta), pengangkutan dan logistik (31.57 juta), utiliti (22.96 juta) dan amanah perniagaan (33,000).

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514265